SEREMBAN, 7 Februari 2026 – Tawau terus mencipta nama di persada sukan tinju negara apabila seorang anak tempatan berjaya merangkul pingat emas di kejohanan peringkat kebangsaan.
Petinju muda, Mohd Latip Sopiansyah Bin Jumali dari Sweet Boxing Club, Tawau, mencipta kejayaan gemilang apabila muncul juara kategori 50 kilogram (Open Atas 18 Tahun) pada Twins Championship Box Series yang berlangsung pada 31 Januari hingga 1 Februari 2026 di Palm Mall Seremban, Negeri Sembilan.

Aksi konsisten sepanjang kejohanan, disertai disiplin tinggi, ketahanan fizikal yang mengagumkan serta semangat juang luar biasa, membolehkan Mohd Latip menewaskan lawan-lawannya sekali gus mengesahkan pingat emas milik Tawau.
Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan potensi atlet muda dari daerah Tawau, malah mengharumkan nama Sabah di pentas sukan tinju kebangsaan.
Sweet Boxing Club Tawau turut menerima pujian atas peranan mereka dalam membentuk bakat muda yang berdaya saing dan berdisiplin, sekali gus menunjukkan bahawa Tawau mampu melahirkan atlet bertaraf nasional.






