Isu bekalan air, keadaan jalan raya dan kelewatan projek awam bukan lagi perkara baharu di Sabah.
Hampir setiap tahun, rakyat disajikan dengan aduan mengenai gangguan air berpanjangan, jalan rosak yang membahayakan para pengguna serta projek kerajaan yang lewat siap atau terbengkalai.
Namun, di sebalik semua masalah itu, satu persoalan lebih besar sering timbul-mengapa maklumat berkaitan isu-isu ini begitu sukar diakses oleh rakyat?
Dalam era digital dan keterbukaan maklumat, rakyat sepatutnya boleh mengetahui status sebenar sesuatu projek, jumlah kos yang dibelanjakan, syarikat yang terlibat, tempoh pelaksanaan serta sebab kelewatan berlaku.
Malangnya, banyak maklumat penting masih berada dalam ruang tertutup birokrasi kerajaan. Situasi ini menyebabkan rakyat hanya mengetahui sesuatu isu selepas ia menjadi tular di media sosial atau didedahkan melalui laporan audit.
Kekurangan akses maklumat bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, malah membuka ruang kepada salah guna kuasa, ketirisan dan kelemahan tadbir urus.
Ketelusan Masih Menjadi Cabaran
Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai platform rasmi seperti Jabatan Audit Negara dan portal data terbuka kerajaan yang diwujudkan bagi meningkatkan ketelusan maklumat awam.
Namun, kebanyakan data yang dipaparkan bersifat umum dan tidak memberikan gambaran yang jelas serta penuh mengenai pelaksanaan sesuatu projek.
Sebagai contoh, rakyat sukar mendapatkan dokumen lengkap berkaitan projek pembinaan jalan raya, loji rawatan air atau projek tebatan banjir.
Baca Juga : Apa itu RTI? Kenali ‘hak untuk tahu’ sebagai seorang rakyat biasa
Dalam banyak keadaan, maklumat hanya dikongsi selepas berlaku kegagalan projek atau selepas laporan audit dibentangkan di Parlimen.
Situasi ini dapat dilihat menerusi beberapa laporan Jabatan Audit Negara yang mendedahkan ketidakteraturan yang sangat serius dalam projek Kerajaan yang melibatkan nilai berbilion ringgit.
Malah, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut memanggil beberapa kementerian untuk memberikan penjelasan berhubung kelemahan pengurusan projek awam.
Apa yang membimbangkan ialah kebanyakan isu tersebut hanya diketahui selepas audit dilakukan, sedangkan projek berkenaan sudah lama berjalan menggunakan wang rakyat.
Isu Bekalan Air – Rakyat Selalu Jadi Mangsa
Masalah bekalan air merupakan antara isu paling sensitif di Malaysia, khususnya di negeri Sabah, Kelantan dan beberapa kawasan di negeri Selangor.
Gangguan bekalan air sering Sahaja berlaku berulang kali, tetapi maklumat berkaitan punca sebenar, status pembaikan dan pelan jangka panjang kadangkala tidak disampaikan secara jelas kepada pengguna.
Di Sabah misalnya, isu ketiadaan bekalan air menjadi perhatian kerana melibatkan projek bernilai tinggi tetapi masih gagal menyelesaikan masalah asas rakyat.

Laporan PAC sebelum ini turut meneliti pengurusan projek bekalan air luar bandar di Sabah dan Sarawak selepas timbul pelbagai persoalan mengenai keberkesanan pelaksanaannya.
Rakyat sering diminta “bersabar”, namun jarang diberikan akses kepada laporan teknikal, kos sebenar projek atau status kemajuan secara terperinci.
Akibatnya, masyarakat sukar menilai sama ada sesuatu projek benar-benar berjalan atau sekadar diumumkan untuk tujuan kepentingan politik.
Selain itu, ada juga kes di mana laporan teknikal berkaitan alam sekitar atau sumber air sukar diperoleh atas alasan keselamatan atau hak cipta.
Baca Juga : Bila rakyat tahu – ‘Hak Mendapatkan Maklumat’ boleh ubah kehidupan seharian
Baru-baru ini, Jabatan Alam Sekitar menjelaskan bahawa laporan penuh Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) tidak boleh dimuat turun secara terbuka kerana mengandungi maklumat sensitif dan strategik.
Walaupun alasan keselamatan mempunyai asas tertentu, keterbatasan akses ini tetap menimbulkan persoalan mengenai tahap ketelusan kerajaan dalam projek yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
Lebih-lebih lagi, apabila terdapat kes skandal rasuah sebanyak RM112 juta yang mana melibatkan bekas Pengarah Jabatan Air Sabah itu sendiri yang telah berlaku dan terbongkar pada Oktober 2016.
Jalan Raya Rosak dan Projek Lewat Siap
Selain isu air, keadaan jalan raya juga sering menjadi bahan rungutan rakyat. Jalan berlubang, projek naik taraf yang tertangguh dan pembinaan lebuh raya yang mengambil masa terlalu lama menimbulkan kemarahan pengguna.
Salah satu contoh yang sering dibangkitkan ialah projek Pan Borneo di Sabah dan Sarawak. Projek mega itu diumumkan sejak bertahun-tahun lalu, namun masih menghadapi kelewatan dan pelbagai persoalan mengenai kos serta pelaksanaannya.
Di media sosial dan forum awam, ramai pengguna mempertikaikan mengapa projek sebesar itu masih belum selesai selepas lebih sedekad.

Laporan Ketua Audit Negara juga pernah mendedahkan bahawa sebanyak 157 projek pembangunan di bawah RMK-12 dikategorikan sebagai “projek sakit” atau lewat jadual melibatkan 18 kementerian.
Fakta ini menunjukkan masalah pengurusan projek bukan isu kecil, sebaliknya ia berlaku secara meluas sehingga ke hari ini.
Namun begitu, rakyat lazimnya hanya mengetahui angka kelewatan tanpa akses penuh kepada kontrak projek, pelaksanaan tender atau justifikasi perubahan kos.
Keadaan ini menyebabkan timbul persepsi bahawa wujud elemen ketirisan dan campur tangan politik dalam pelaksanaan projek awam.
Budaya Birokrasi dan Ketakutan Terhadap Kritikan
Antara faktor utama mengapa maklumat sukar diakses ialah budaya birokrasi yang masih kuat dalam pentadbiran negara. Banyak agensi kerajaan lebih selesa mengawal maklumat daripada berkongsi secara terbuka.
Sesetengah pihak bimbang bahawa pendedahan maklumat akan mengundang kritikan terhadap kelemahan pentadbiran. Akibatnya, proses mendapatkan data awam menjadi rumit dan memerlukan pelbagai prosedur.
Malaysia juga masih belum mempunyai Undang-Undang Kebebasan Maklumat (Freedom Of Inforation Act) di peringkat Persekutuan yang benar-benar menyeluruh.
Walaupun Selangor dan Pulau Pinang memiliki enakmen kebebasan maklumat (freedom of information), pelaksanaannya masih terhad dan tidak cukup kuat untuk menjamin akses maklumat secara menyeluruh.
Dalam banyak kes, wartawan, NGO dan aktivis perlu bergantung kepada laporan audit, dokumen bocor atau tekanan media sosial untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan.
Media Sosial Jadi “Saluran Audit Rakyat”
Disebabkan maklumat rasmi amat sukar untuk diperoleh, media sosial kini menjadi tempat utama rakyat meluahkan aduan dan berkongsi bukti berkaitan kerosakan jalan, gangguan air atau projek terbengkalai.
Fenomena ini menunjukkan rakyat semakin hilang keyakinan terhadap saluran rasmi. Sesuatu isu biasanya hanya mendapat perhatian serius selepas ia tular dan menerima tekanan awam.
Walaupun media sosial membantu mempercepatkan penyebaran maklumat, namun ia juga mempunyai risiko penyebaran maklumat tidak tepat atau separuh benar. Jika kerajaan lebih telus sejak awal, ruang untuk spekulasi dan fitnah dapat dikurangkan.
Ketelusan Adalah Keperluan, Bukan Pilihan
Akses kepada maklumat awam bukan sekadar iltizam politik, tetapi berkaitan hak rakyat sebagai pembayar cukai.
Setiap projek kerajaan menggunakan wang awam dan dana rakyat yang mana rakyat berhak untuk mengetahui bagaimana serta kemana wang tersebut dibelanjakan.
Kerajaan perlu memperkukuh budaya ketelusan dengan menyediakan data projek secara masa nyata, memperluas akses kepada dokumen awam dan memudahkan rakyat mendapatkan maklumat tanpa birokrasi melampau.
Selain itu, laporan kemajuan projek perlu dipaparkan secara berkala dan mudah difahami rakyat biasa, bukan sekadar laporan teknikal yang sukar diteliti.
Membina Kepercayaan Rakyat dan Bukan Janji Politik Semata-Mata
Isu air, jalan raya dan projek awam tidak akan selesai hanya dengan sidang media atau janji politik semata-mata. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kerajaan membina kepercayaan rakyat melalui ketelusan maklumat.
Selagi akses kepada maklumat terus dibatasi, rakyat akan terus mempersoalkan integriti pengurusan projek awam. Ketelusan bukan ancaman kepada kerajaan, sebaliknya asas penting bagi memastikan pentadbiran lebih cekap, bersih dan bertanggungjawab.
Dalam dunia moden hari ini, rakyat bukan lagi mahu sekadar mendengar janji. Mereka mahu melihat data, fakta dan bukti sebenar.
Maklumat penuh mengenai Right To Information (RTI) – https://cijmalaysia.net/rti-faq-bm/