TAWAU, 11 Mei 2026 – Program pendidikan anjuran Persatuan Mahasiswa Sabah Universiti Malaya (PERMASA UM) berjaya menghimpunkan lebih 350 pelajar dalam program “Share The Love 3.0: Back To Sabah” yang berlangsung di Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Tawau pada Sabtu, 25 April 2026 yang lepas.
Program yang dianjurkan oleh Exco Akademik & Intelektual PERMASA UM sesi 2025/2026 itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kehidupan di universiti, laluan kemasukan ke institusi pengajian tinggi serta peluang biasiswa khususnya untuk pelajar Sabah.
Selain itu, program tersebut turut menjadi platform untuk meningkatkan motivasi pelajar meneruskan pengajian tinggi melalui perkongsian pengalaman sebenar daripada mahasiswa dan alumni Universiti Malaya.
Antara pengisian utama program ialah sesi ceramah motivasi yang disampaikan oleh Yang Dipertua PERMASA UM, Siti Nurasyikin Mohd Tamizi, selain ceramah biasiswa oleh Timbalan Yang Dipertua I PERMASA UM, Mohamad Shahrul Syahmi Sahimin.
Program itu turut menampilkan perkongsian alumni oleh Muhammad Nursyam yang juga bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Tawau dan alumni Universiti Malaya.
Dalam masa sama, pelajar turut mengikuti aktiviti interaktif berbentuk stesen yang memperkenalkan fakulti-fakulti di universiti bagi membantu mereka memahami pilihan bidang pengajian yang tersedia.
Program tersebut turut mendapat kerjasama strategik daripada Axiata Foundation yang menyumbangkan merchandise khas kepada 450 peserta sebagai galakan pendidikan.
#TawauKini


