TAWAU, 1 Jun 2026 – Penganjur Tawau Marathon 2026 memperkenalkan rekaan rasmi Finisher Tee yang bakal diberikan secara eksklusif kepada peserta yang berjaya menamatkan kategori Full Marathon (42KM) dan Half Marathon (21KM).
Menurut penganjur, larian sejauh 21 kilometer dan 42 kilometer bukan sekadar menguji kemampuan fizikal, malah menuntut disiplin, ketahanan mental, pengorbanan serta semangat juang yang tinggi daripada setiap peserta.

Rekaan Finisher Tee tahun ini menampilkan gabungan warna gradien yang melambangkan keberanian serta perjalanan seorang pelari daripada cabaran dan kesukaran menuju kejayaan di garisan penamat.
Baju tersebut turut dihiasi motif berinspirasikan elemen etnik yang mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat di Tawau, selain menampilkan lambang khas ‘finisher’ sebagai simbol pencapaian pelari yang berjaya menamatkan perlumbaan.

Penganjur berkata, rekaan itu diinspirasikan daripada semangat dan warna-warna yang sinonim dengan Tawau, sekali gus menjadikannya lebih bermakna kepada peserta.
“Finisher Tee ini bukan sekadar baju, tetapi lambang pencapaian dan kenangan bagi mereka yang berjaya menamatkan cabaran 21KM dan 42KM,” menurut kenyataan yang dimuat naik oleh pihak penganjur.

Tawau Marathon 2026 yang berlangsung pada 23 Ogos 2026 di Kompleks Sukan Tawau itu dijangka menghimpunkan ribuan pelari dari dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara larian utama di Pantai Timur Sabah.

#TawauKini