TAWAU, 5 Jun 2026 – Program TawauKini Creator Academy (TCA) Batch-2 berjaya dianjurkan di Institut Memandu Cemerlang (IMC), Jalan Damai, sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa kemahiran penghasilan kandungan digital dan pemasaran media sosial dalam kalangan pemain industri serta komuniti perniagaan tempatan.

Program latihan sehari yang berlangsung secara hands-on itu dikendalikan TawauKini Media Solution bersama Mohd Syazwan Syahmi selaku trainer, yang berkongsi pengetahuan berkaitan pemasaran digital, strategi membina jenama di media sosial, teknik rakaman video menggunakan telefon pintar serta penyuntingan kandungan untuk platform digital.
Batch kedua kali ini menghimpunkan peserta daripada pelbagai organisasi dan latar belakang industri, termasuk tenaga pengajar dari Institut Memandu Cemerlang (IMC) dan Institut Memandu Dayacara, selain wakil daripada Visa Suria Holdings, The Tiffin Cafe dan Komborongoh Plantation.


Menurut penganjur, penyertaan daripada pelbagai sektor menunjukkan bahawa keperluan terhadap kemahiran digital dan penghasilan kandungan berkualiti kini semakin penting, tanpa mengira jenis perniagaan atau bidang pekerjaan.
Menariknya, program tersebut turut disertai peserta pelbagai lapisan umur termasuk yang kurang terdedah kepada penggunaan media sosial sebagai medium pemasaran.

Peserta didedahkan dengan asas pemasaran digital agar tidak ketinggalan dalam mengikuti perubahan landskap perniagaan masa kini yang semakin bergantung kepada platform digital untuk berhubung dengan pelanggan serta mempromosikan produk dan perkhidmatan.
Sepanjang program, peserta mempelajari cara menghasilkan kandungan yang menarik, membina keyakinan untuk tampil di hadapan kamera serta memahami strategi pemasaran yang boleh dilaksanakan secara konsisten menggunakan peralatan asas seperti telefon pintar.

Selain sesi teori, peserta turut menjalani latihan praktikal dengan menghasilkan kandungan video sendiri sebelum menerima maklum balas bagi tujuan penambahbaikan. Pendekatan tersebut memberi peluang kepada peserta untuk terus mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar.
Penganjur berharap TawauKini Creator Academy dapat terus menjadi platform pembangunan bakat digital tempatan, sekali gus melahirkan lebih ramai pencipta kandungan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem digital dan ekonomi setempat di Tawau.


#TawauKini