KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2026 – Pertubuhan masyarakat sivil (CSO) menggesa Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera mereformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) bagi membendung salah guna sumber serta jentera kerajaan sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
Dalam sidang media bersama antara Bersih, CIJ, IDEAS, Rasuah Busters dan Pusat KOMAS, berkata pemantauan terhadap beberapa pilihan raya kecil serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Johor dan Negeri Sembilan mendapati penggunaan sumber dan jentera kerajaan menjadi antara kesalahan yang paling kerap berlaku, terutama ketika persaingan politik sengit.

Menurut Bersih, sebanyak 72 kes salah guna sumber kerajaan dikenal pasti dalam pemantauan terhad di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, dengan 34 kes direkodkan di Sabah, 18 di Johor dan 20 di Negeri Sembilan. Jumlah itu bagaimanapun tidak merangkumi keseluruhan penggunaan jentera kerajaan sepanjang tempoh kempen.
Kenyataan itu turut membangkitkan kebimbangan terhadap penggunaan program kerajaan sebagai ruang berkempen, termasuk pemberian bantuan, pengumuman peruntukan, pemeriksaan kesihatan percuma, cabutan bertuah dan pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat.
Selain itu, sentimen perkauman, agama, xenofobia serta manipulasi kandungan menggunakan kecerdasan buatan (AI) semakin membimbangkan dalam kempen digital.

Sehubungan itu, mereka menggesa AKPR 1954 dipinda dengan menjadikan penyalahgunaan sumber dan jentera kerajaan sebagai satu kesalahan, mewajibkan audit penyata perbelanjaan pilihan raya oleh pihak bertauliah, mewujudkan garis panduan lebih tegas terhadap politik perkauman dan manipulasi digital serta meluaskan kuasa SPR untuk mengeluarkan kompaun.
Mereka mahu reformasi itu dilaksanakan segera sebelum PRU16 bagi memastikan proses pilihan raya lebih bersih, bebas dan adil.
#TawauKini