3.5 juta batang rokok dirampas Polis Marin dan SPRM di Sandakan, nilai mencecah RM5 juta

3.5 juta batang rokok dirampas Polis Marin dan SPRM di Sandakan, nilai mencecah RM5 juta
SANDAKAN, 17 September 2026 – Operasi Bersepadu Khas anatara Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai di Sungai Seguntur, Sandakan, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM4.89 juta.
rokok dirampas Polis Marin dan SPRM di Sandakan
Foto – Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Bertindak atas maklumat dan risikan, PPM Wilayah 4 Sabah bersama SPRM melaksanakan serbuan di sebuah jeti tidak berdaftar di tepi Sungai Seguntur, Sandakan, kira-kira jam 1.30 pagi pada 15 September 2026.

Operasi tersebut berjaya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun serta merampas sebanyak 1,820,000 batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

rokok dirampas Polis Marin dan SPRM di Sandakan
Foto – Pasukan Polis Marin W4 Sabah
Turut dirampas ialah sebuah lori bonded tiga tan, sebuah bot laju berukuran 30 x 10 kaki serta tiga unit enjin sangkut Yamaha 200HP. Nilai rampasan pertama dianggarkan sebanyak RM2,564,000.00.
rokok dirampas Polis Marin dan SPRM di Sandakan
Foto – Pasukan Polis Marin W4 Sabah
rokok dirampas Polis Marin dan SPRM di Sandakan
Foto – Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Hasil maklumat susulan daripada tangkapan dan rampasan pertama, pasukan serbuan berjaya mengesan sebuah lagi bot laju yang disembunyikan di celah pokok bakau di Sungai Seguntur.

Pemeriksaan menemukan sebuah bot berukuran 30 x 10 kaki yang dilengkapi tiga unit enjin sangkut Yamaha 200HP serta muatan sebanyak 1,730,000 batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama.

Bot dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Jeti Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut. Nilai rampasan kedua dianggarkan sebanyak RM2,326,000.00.

Secara keseluruhan, Operasi Bersepadu Khas PPM Wilayah 4 Sabah bersama SPRM berjaya merampas sebanyak 3,550,000 batang rokok tidak bercukai dengan nilai rampasan RM4,890,000.00.

Dalam operasi berasingan pada 14 September 2026, PPM Wilayah 4 Sabah turut melaksanakan serbuan di sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Dambai, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu.

rokok dirampas Polis Marin dan SPRM di Sandakan
Foto – Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 43,200 tin minuman keras disyaki tidak bercukai dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM478,506.00.

Kejayaan ketiga-tiga serbuan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan rampasan kontraban oleh PPM Wilayah 4 Sabah pada 14 dan 15 September 2026 bernilai RM5,368,506.00.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Untuk rekod, bagi tempoh Januari hingga 15 September 2026, PPM Wilayah 4 Sabah telah merekodkan sebanyak 61 kes di bawah Akta Kastam 1967, melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM8,386,812.61 serta 40 tangkapan.

Kejayaan ini mencerminkan keberkesanan perkongsian risikan dan kerjasama strategik antara PPM Wilayah 4 Sabah dengan SPRM dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan serta membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran barangan tidak bercukai.

PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan, memperkukuh perkongsian maklumat dan mempertingkatkan kerjasama antara agensi bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibanteras secara berterusan demi keselamatan serta kepentingan negara. – Pasukan Polis Marin W4 Sabah

#TawauKini