TAWAU, 1 September 2026 – Sebuah inisiatif menarik, achoKofi Car Boot Sale, kini membuka ruang kepada 84 vendor untuk menjalankan aktiviti jualan setiap minggu pada Jumaat dan Sabtu di Mid Valley Commercial Hub, Tawau.
Menampilkan konsep jualan terus dari boot kereta tanpa penggunaan canopy, program berkenaan menghimpunkan pelbagai jenis peniaga dengan barangan dan produk yang berbeza.
Daripada keseluruhan 84 vendor, sebanyak 14 vendor menawarkan makanan, manakala 70 lagi menjual pelbagai jenis pakaian dan barangan.
Menariknya, peniaga yang mengambil bahagian terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India, selain mempunyai latar belakang pekerjaan yang berbeza termasuk penjawat awam serta golongan lain.
Pemula inisiatif berkenaan, Ahmad Muhazzab Bin Tagiling, berharap achoKofi Car Boot Sale dapat membantu menghidupkan lagi suasana malam di kawasan Jalan Datuk Chong Thien Vun, termasuk kawasan dalam lingkungan 10 kilometer dari Mid Valley Tawau.
Menurutnya, inisiatif tersebut turut menyasarkan golongan anak muda Tawau selain komuniti Cina, masyarakat M40 dan T20 yang tinggal di kawasan berhampiran Mid Valley Commercial Hub.
Pemilihan Mid Valley Commercial Hub sebagai lokasi juga dilihat bersesuaian dengan konsep berkenaan berikutan suasana serta reka bentuk bangunan yang moden, sekali gus menjadi antara tarikan kepada orang ramai untuk berkunjung.
Dengan operasi setiap Jumaat dan Sabtu, achoKofi Car Boot Sale dijangka menjadi antara lokasi alternatif bagi masyarakat Tawau untuk bersantai, membeli-belah dan menikmati suasana malam hujung minggu.
#TawauKini


