Ada yang transfer RM50k bantu bayar denda Najib, kutipan kini cecah sejuta

Ada yang transfer RM50k bantu bayar denda Najib, kutipan kini cecah sejuta

KUALA LUMPUR, 19 September 2026 – Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan UMNO bagi membantu Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda RM50 juta kini mencecah RM1 juta, kurang 24 jam selepas kutipan itu dimulakan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan jumlah itu dicapai pada jam 9.30 pagi tadi, selepas tabung berkenaan mengumpulkan RM634,562.02 dalam tempoh tiga jam pertama.

“Alhamdulillah! Pagi ini pukul 9.30 pagi, Tabung Solidariti Najib Razak sudah mencecah RM1 juta. Teruskan menyumbang walau hanya RM10,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Menurut Asyraf Wajdi, ramai penyumbang sebelum ini menyalurkan sumbangan serendah RM10 dan RM50.

Tabung itu diwujudkan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib, dengan UMNO menjelaskan kutipan tersebut bertujuan membantu beliau melunaskan denda RM50 juta.

Dalam pada itu, UMNO Online turut berkongsi beberapa luahan penyumbang yang menjelaskan sebab mereka memilih untuk menyumbang kepada tabung berkenaan.

Antaranya, seorang penyumbang dikenali sebagai Zawawi Mohamed berkata beliau kini bergelar pesara dan mempunyai kekangan kewangan, namun tetap menghargai jasa Najib kepadanya, rakyat dan Malaysia.

Denda Najib
Foto – UMNO Online

Beliau turut memaklumkan akan cuba menyumbang lagi pada bulan depan selepas menerima wang pencen.

Seorang lagi penyumbang, Zyden Zidane, pula berkongsi pengalaman ketika kehilangan pekerjaan dan mendakwa skim Insurans Pekerjaan (EIS) yang dicetuskannya ketika pentadbiran Najib telah memberikan kelegaan kepadanya serta keluarga untuk meneruskan kehidupan.

“Terima kasih DSN,” tulisnya.

Denda Najib
Foto – UMNO Online

Sementara itu, seorang pengguna media sosial yang menggunakan nama Stella Opale mengakui pernah mempunyai perasaan negatif terhadap Najib sebelum ini.

Namun, beliau berkata selepas menyedari kesilapannya, beliau memilih untuk menyumbang sambil berharap kesilapan lalu dapat ditebus.

denda Najib
Foto – UMNO Online

Turut dikongsikan ialah sumbangan RM2,000 oleh pengguna bernama Jane Alqassem, yang mengaitkan pengalamannya menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2013 ketika berdepan masalah kewangan.

Beliau berkata pengalaman tersebut masih diingatinya sehingga kini dan menjadi antara sebab beliau memilih untuk memberikan sumbangan.

denda Najib
Foto – UMNO Online

Sumbangan RM50,000 turut tular

Pada masa sama, satu tangkap layar yang tular di media sosial memaparkan transaksi RM50,000 kepada akaun Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) turut menjadi perhatian.

Tangkap layar yang dikongsikan menerusi status WhatsApp itu memaparkan transaksi melalui CIMB dengan nama penerima Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan nombor akaun yang sama digunakan bagi Tabung Solidariti Najib Razak.

Pada bahagian rujukan transaksi, tertera “Najib Razak”, manakala jumlah yang dipaparkan ialah RM50,000.

denda Najib
Foto – UMNO Online

Bagaimanapun, berdasarkan tangkap layar yang tular itu hanya menunjukkan seorang individu yang dipercayai bergelar Datuk membuat transaksi tersebut.

Dengan kutipan RM1 juta setakat 9.30 pagi tadi, jumlah itu bersamaan kira-kira 2 peratus daripada denda RM50 juta yang perlu dilunaskan Najib.

UMNO sebelum ini memaklumkan sumbangan kepada tabung tersebut adalah secara sukarela dan terbuka kepada kepimpinan, ahli UMNO serta mana-mana pihak yang mahu memberikan sokongan.

Kes Rasuah SRC International

Untuk rekod, Najib sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. Mahkamah Tinggi pada asalnya menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta, yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, menerusi keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024, hukuman berkenaan dikurangkan sebanyak 50 peratus, menjadikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Pada 18 September 2026, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pula memperkenankan pengampunan bersyarat, membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

#TawauKini