KUALA LUMPUR, 15 September 2026 – Selepas kira-kira tujuh bulan tanpa kemas kini di media sosial, aktivis dan artis grafik Fahmi Reza kembali muncul menerusi satu hantaran ringkas yang mengundang perhatian pengikutnya.
Hantaran yang dimuat naik hari ini itu hanya memaparkan latar berwarna merah jambu dengan tulisan “Anybody miss me? 😊”.
Menariknya, Fahmi turut menggunakan lagu Should I Stay or Should I Go (Remastered) oleh kumpulan rock British, The Clash, sebagai muzik latar hantaran berkenaan.
Fahmi, yang terkenal dengan karya seni satira politik, sejak sekian lama menggunakan ilustrasi dan poster sebagai medium untuk melawan rasuah, salah guna kuasa serta isu kebebasan bersuara.
Satira melawan rasuah
Antara karya paling dikenali beliau ialah karikatur bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai badut yang diterbitkan pada 2016 ketika isu skandal 1MDB menjadi perhatian umum.

Karya tersebut kemudiannya membawa kepada tindakan undang-undang terhadap Fahmi di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Beliau disabitkan pada 2018 dan dikenakan hukuman denda serta penjara, sebelum hukuman penjara itu diketepikan.
Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas 25 pertuduhan dalam kes 1MDB membabitkan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion. Beliau kemudian dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.4 bilion.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut mendapati wujud hubungan yang tidak dapat dinafikan antara Najib dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, berdasarkan keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Keputusan itu menjadikan perjuangan Fahmi menggunakan seni untuk mengkritik isu rasuah dan 1MDB mempunyai satu perkembangan besar beberapa tahun kemudian, meskipun karya asalnya terhadap Najib telah membawanya berdepan tindakan undang-undang.
Sekatan ke Sabah

Di Sabah, Fahmi mencetuskan perhatian selepas menghasilkan karya yang menggelar bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman, sebagai “Koruptor No. 1 Sabah” susulan pelantikannya selaku Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Karya tersebut membawa kepada siasatan terhadap Fahmi di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia. Beliau turut ditahan polis di Penampang pada Disember 2024.
Kemuncaknya, pada 29 Mei 2025, Fahmi dilaporkan disekat daripada memasuki Sabah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), sebelum dideportasi ke Kuala Lumpur.
Sekatan le luar negara
Tidak lama kemudian, pada 7 Jun 2025, Fahmi mendakwa beliau pula disekat daripada meninggalkan Malaysia ketika mahu menaiki penerbangan ke Singapura.
Bagaimanapun, Jabatan Imigresen kemudian menjelaskan bahawa Fahmi tidak dikenakan sekatan untuk keluar negara, manakala sekatan terhadap kemasukannya ke Sabah adalah perkara berasingan.
Kemunculan semula
Selepas beberapa episod tersebut, Fahmi dilihat tidak membuat kemas kini di media sosialnya selama kira-kira tujuh bulan.
Kini, kemunculannya semula dengan hanya tiga perkataan, “Anybody miss me?” bersama lagu Should I Stay or Should I Go kembali mencetuskan tanda tanya dalam kalangan masyarakat.
Sama ada ia sekadar sapaan selepas lama menyepi atau petanda Fahmi bakal kembali dengan karya dan kritikan baharu, masih belum dapat dipastikan.
Namun, dengan rekod Fahmi yang konsisten menjadikan seni sebagai medium menyuarakan isu rasuah, salahguna kuasa dan kebebasan bersuara, kemunculan ringkas itu sudah cukup untuk menarik perhatian.
#TawauKini
