Dari Tawau ke Eropah – Dulu Hanya 1A SPM, Nurfarhani kini lanjut Master di ‘Top 10 University’ UK

Dari Tawau ke Eropah – Dulu Hanya 1A SPM, Nurfarhani kini lanjut Master di ‘Top 10 University’ UK

TAWAU, 2 September 2026 – Siapa sangka anak Tawau tergolong 1% daripada 108,959 pemohon dari seluruh dunia. Demikian kisah anak jati Tawau, Nurfarhani Binti Abdul Japar yang berjaya menerima Chevening Scholarship, biasiswa berprestij kerajaan United Kingdom (UK).

Nurfarhani berkongsi kisah tersebut baru-baru ini, meluahkan rasa syukur dan teruja selepas impiannya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana akhirnya menjadi kenyataan.

Nurfarhani Abdul

Menurutnya, selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2017, dia sememangnya menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Master.

Bagaimanapun, menyedari dirinya masih belum berkemampuan ketika itu, Nurfarhani memilih untuk bekerja terlebih dahulu selama beberapa tahun sebelum kembali mengejar impian tersebut.

Tangkap layar emel yang diterima Nurfarhani (Sumber : FB Nurfarhani Abdul)

Menariknya, impian asalnya adalah untuk melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), namun rezekinya ternyata membawa dia lebih jauh apabila berjaya menerima biasiswa untuk belajar di UK.

Menerusi biasiswa berkenaan, Nurfarhani bakal mengikuti pengajian Master of Science (MSc) in Public Policy and Management di University of Glasgow, Scotland bermula September ini.

Lebih membanggakan, dia merupakan antara penerima yang terpilih daripada jumlah 108,959 pemohon di seluruh dunia, dengan hanya sekitar satu peratus pemohon dipilih bagi program Chevening pada tahun 2026.

Berkongsi perjalanan hidupnya, Nurfarhani mengakui dirinya bukanlah pelajar yang paling cemerlang ketika di bangku sekolah mahupun universiti.

Malah, dia mendedahkan hanya memperoleh 1A dalam SPM, namun percaya pencapaiannya hari ini terhasil daripada kerja keras, pengorbanan serta doa yang tidak pernah putus.

Sebagai anak Tawau, kejayaan tersebut pastinya menjadi satu pencapaian yang membanggakan, apatah lagi apabila dia berjaya membawa namanya dari Sabah hingga ke Scotland untuk melanjutkan pengajian di peringkat antarabangsa.

Nurfarhani turut menitipkan pesanan kepada mereka yang mungkin merasakan impian terlalu jauh untuk dicapai supaya tidak mudah berputus asa.

Katanya, jika seseorang yang bermula dengan serba sederhana sepertinya mampu mencapai tahap tersebut, orang lain juga mampu melakukannya asalkan terus berusaha dan mempunyai kepercayaan terhadap kemampuan diri.

“Kalau orang macam saya dengan permulaan yang sederhana boleh sampai ke tahap ini, kamu pun boleh. Yang penting usaha,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Nurfarhani turut menzahirkan penghargaan kepada Chevening Awards (FCDO), keluarga serta rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan tersebut.

Bagi Nurfarhani, peluang yang diterimanya itu tidak akan dipersia-siakan.

Lebih manis, impian untuk kembali ke alam pengajian akhirnya tercapai pada usia 32 tahun, sekali gus membuktikan bahawa tidak ada istilah terlalu lewat untuk mengejar cita-cita.

#TawauKini