Filipina rampas kapal dari Kota Kinabalu, temui 222kg ganja bernilai RM23.6 juta

Filipina rampas kapal dari Kota Kinabalu, temui 222kg ganja bernilai RM23.6 juta

MANILA, 8 September 2026 – Sebuah kapal layar didakwa dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju Taiwan ditahan pihak berkuasa Filipina selepas lebih 222 kilogram (kg) ganja bernilai kira-kira 366.65 juta peso (RM23.6 juta) ditemukan di dalam kapal berkenaan.




Filipina rampas kapal dari Kota Kinabalu
Foto – Inquirer

Menurut laporan Philstar, kapal itu mempunyai empat anak kapal warga Thailand dan Malaysia sebelum mengalami masalah enjin ketika dalam perjalanan dan menghantar isyarat kecemasan bagi mendapatkan bantuan.




Kapal berkenaan kemudian dibawa ke Subic Bay Yacht Club (SBYC) pada 28 Ogos untuk menjalani kerja-kerja pembaikan. Pemeriksaan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima maklumat mencurigakan mengenai kapal layar berkenaan.




Pemeriksaan awal pada 2 September menemukan 98.33kg ganja bernilai kira-kira 162.2 juta peso (RM10.46 juta). Pemeriksaan susulan pada 5 September, termasuk meleraikan sebahagian struktur kapal, menemukan tambahan 123.91kg ganja dalam 109 bungkusan, menjadikan keseluruhan rampasan sebanyak 222.24kg.




Philstar melaporkan pemeriksaan membabitkan Biro Kastam Filipina (BOC), Pihak Berkuasa Metropolitan Subic Bay (SBMA), Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA), polis Zambales dan polis Olongapo City.

Dalam pada itu, Philippine Daily Inquirer melaporkan kapal berkenaan dikenal pasti sebagai Sailing Yacht “Lindsy”, manakala Pengawal Pantai Filipina (PCG) sedang menyiasat laluan pelayaran kapal itu sebelum tiba di Subic.



Menurut Inquirer, pihak berkuasa mahu mendapatkan akses kepada logbook, carta navigasi, GPS, AIS dan sistem navigasi elektronik kapal bagi membantu mengenal pasti laluan yang dilalui sebelum tiba di Subic.



Pihak berkuasa Filipina kini sedang mengenal pasti pemilik serta penerima dadah berkenaan, selain menyiasat kemungkinan wujud kaitan dengan sindiket dadah tempatan atau antarabangsa.



Kesemua ganja yang dirampas diserahkan kepada PDEA untuk tindakan lanjut, manakala usaha mengesan empat anak kapal terbabit sedang dijalankan.

Sumber: The Philippine Star (6 September 2026) dan Philippine Daily Inquirer (5 September 2026).

#TawauKini