SRI Al-Fateh Tawau Naib Johan Keseluruhan MSSRIS ke-11

SRI Al-Fateh Tawau Naib Johan Keseluruhan MSSRIS ke-11

KOTA KINABALU, 30 Ogos 2026 – Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Fateh Taman Ria Tawau melakar pencapaian membanggakan apabila muncul naib johan keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Rendah Islam (MSSRI) Sabah Ke-11.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari pada 29 dan 30 Ogos 2026 itu diadakan di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, dengan penyertaan sembilan buah SRI dari seluruh Sabah.

SRI Al-Fateh Taman Ria Tawau membawa pulang keseluruhan 6 pingat emas, 4 perak dan 6 gangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan sekolah berkenaan sebagai antara pencabar utama dalam kejohanan tersebut.

Antara acara yang menyumbang kepada kejayaan itu ialah memanah individu, memanah berkumpulan, memanah campuran, 200 meter Muslimin A serta 4×200 meter Muslimat A.

Kejohanan kali ke-11 itu mengangkat tema “Fitrah Sihat, Ummah Kuat”, manakala majlis penutupan dirasmikan oleh ADUN Karambunai, YB Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

Sekolah Rendah Islam Ar-Raudhah, Sandakan dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan kutipan 7 emas, 10 perak dan 4 gangsa, manakala Sekolah Rendah Islam Al Hafidz, Bandar Sierra menduduki tempat ketiga dengan enam emas, tiga perak dan empat gangsa.

Sementara itu, satu lagi wakil dari Tawau, SRI Al-Fateh Bandar Sri Indah, turut mencatat keputusan membanggakan apabila menduduki tempat kelima keseluruhan dengan kutipan 3 emas, 5 perak dan 5 gangsa.

Pencapaian kedua-dua sekolah dari Tawau itu sekali gus membuktikan kemampuan atlet muda SRI di daerah berkenaan untuk bersaing di peringkat negeri.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada SRI Al-Fateh Taman Ria Tawau atas kejayaan sebagai naib johan keseluruhan, serta seluruh atlet, guru dan warga sekolah yang bertungkus-lumus menjayakan penyertaan dalam kejohanan berkenaan. 👏🏽🏆

#TawauKini