TAWAU. 2 September 2026 – Khabar mengenai pasar raya Yong Hin di Tawau yang didakwa bakal ditutup mula tular di media sosial, sekali gus mengundang reaksi warga Tawau yang mempunyai pelbagai kenangan di premis berkenaan.
Menerusi perkongsian di Threads, pengguna ‘_kakaqkartnie’ berkata Yong Hin sudah menjadi tempat membeli-belah keluarganya sejak kecil, sebelum kewujudan pasar raya seperti Servay di Tawau.
Menurutnya, antara perkara yang membuatkan dirinya berasa sedih ialah sebahagian pekerja Yong Hin sudah dikenalinya sejak kecil dan masih bekerja di situ sehingga kini.
Sementara itu, pengguna ‘bunga.83’ turut berkongsi kenangan sepanjang membesar di Tawau, termasuk ketika bersekolah, bekerja dan selepas berkeluarga, apabila Yong Hin menjadi tempat mendapatkan pelbagai keperluan seperti pakaian sekolah, susu anak dan barangan bayi.
Katanya, lokasi Yong Hin yang berhampiran stesen bas, tandas awam, pasar ikan dan pasar sayur menjadikannya antara lokasi yang mudah dikunjungi serta sebahagian daripada rutin warga Tawau sejak sekian lama.
Dalam pada itu, turut timbul dakwaan belum disahkan bahawa pasar raya Econsave bakal mengambil alih premis berkenaan. Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi mengenai penutupan Yong Hin mahupun pengambilalihan tersebut.
#TawauKini


