Lo Seru Penyelesaian Aman Isu BSI Ranggu, Cadang Dialog Libat Semua Pihak

TAWAU: Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui menyeru semua pihak berkaitan isu penutupan jalan di kawasan BSI Ranggu agar bertenang dan mengutamakan penyelesaian secara aman berlandaskan undang-undang.

Menurut beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), isu berkenaan bukan perkara baharu dan telah berlarutan sejak sekian lama, justeru pendekatan terbaik ialah melalui perbincangan serta saluran sah bagi mengelakkan salah faham terus berpanjangan.

“Saya mohon semua pihak ‘cool down’ dan kita selesaikan perkara ini dengan aman. Apa juga tindakan atau keputusan mesti dibuat berdasarkan undang-undang. “Saya faham isu ini sudah lama berlaku dan melibatkan pelbagai pihak, namun demi kesejahteraan bersama, kita perlu merujuk kepada proses serta saluran yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Pesta Kaamatan 2026 Peringkat Daerah Tawau. Lo berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Tanah dan Ukur serta pemimpin-pemimpin tempatan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu tersebut.

Mengulas cadangan supaya satu sesi dialog aman diadakan antara semua pihak berkepentingan, beliau menyifatkan langkah itu sebagai pendekatan yang wajar dipertimbangkan. Menurutnya, isu melibatkan penggunaan tanah sebaiknya diketuai oleh pihak berkuasa berkaitan khususnya Jabatan Tanah dan Ukur dengan penglibatan semua pihak terlibat termasuk komuniti setempat.

“Bagi saya, ini bukan soal siapa lebih ramai atau siapa lebih kuat bersuara.Kita mesti ada satu garis panduan dan rujukan yang jelas iaitu undang-undang. “Saya berharap pihak berkuasa berkaitan dapat menganjurkan sesi dialog serta memberikan penjelasan yang menyeluruh supaya tidak berlaku kekeliruan dan salah faham,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Lo turut menghadiri Pesta Kaamatan 2026 Peringkat Daerah Tawau, yang menurutnya bukan sekadar acara kebudayaan tetapi platform penting memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sabah. Beliau menyifatkan Pesta Kaamatan sebagai lambang keunikan Sabah yang merangkumi kepelbagaian agama, budaya dan bangsa, selain menjadi medium penting dalam mempertahankan keharmonian masyarakat.

Malah, beliau turut mencadangkan agar sambutan Pesta Kaamatan di Tawau pada masa akan datang dipertingkatkan sehingga bertaraf antarabangsa bagi menarik lebih ramai pengunjung serta meningkatkan minat generasi muda terhadap budaya tradisi negeri ini. “Tawau mempunyai potensi besar.

Jika diangkat ke tahap lebih tinggi, ia bukan sahaja menghidupkan budaya tetapi juga mampu menarik lebih ramai pengunjung termasuk golongan belia untuk bersama mempertahankan warisan budaya kita,” katanya. Beliau berharap usaha memperkukuh budaya dan keharmonian masyarakat dapat berjalan seiring dengan penyelesaian isu-isu tempatan melalui semangat persefahaman dan kerjasama semua pihak.