TAWAU – Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, menegaskan pembinaan Empangan Cinta Mata dan Loji Rawatan Air Cinta Mata 2 merupakan langkah penting dalam menyelesaikan masalah bekalan air di Tawau, namun ia perlu disertai dengan penyelesaian terhadap beberapa isu asas yang telah sekian lama membelenggu sistem bekalan air di daerah ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat perkembangan projek yang disampaikan oleh Jurutera Daerah (DE) Jabatan Air Tawau, melibatkan status semasa pembinaan kedua-dua projek berkenaan.
Menurut beliau, berdasarkan taklimat yang diterima, Empangan Cinta Mata dijangka siap pada 2027, manakala Loji Rawatan Air Cinta Mata 2 dijadualkan siap dan beroperasi pada 2028.
“Apabila kedua-dua projek ini siap, ia akan memberi manfaat besar kepada penduduk Tawau dengan menyediakan bekalan air yang lebih stabil,” katanya.
Bagaimanapun, Lo berkata pembinaan infrastruktur baharu sahaja tidak memadai sekiranya masalah Non-Revenue Water (NRW) atau kehilangan air tidak berhasil terus berlaku.
Beliau menjelaskan antara punca utama NRW ialah kebocoran paip lama yang telah digunakan sejak sekian lama dan tidak pernah dinaik taraf secara menyeluruh.
“Walaupun empangan dan loji rawatan siap dibina, jika rangkaian paip lama tidak diganti, sukar untuk menjamin bekalan air yang benar-benar stabil kepada pengguna,” katanya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu pembangunan lot-lot kediaman yang tidak melalui proses perancangan rasmi sehingga menyukarkan Jabatan Air Sabah dan agensi berkaitan mendapatkan data tepat mengenai keperluan penggunaan air di sesuatu kawasan.
Menurutnya, kewujudan penempatan tidak terancang termasuk kawasan setinggan turut menjadi antara faktor yang memberi cabaran kepada perancangan sistem bekalan air di Tawau.
“Untuk memastikan bekalan air benar-benar stabil, kita perlu melihat isu ini secara menyeluruh, bukan hanya bergantung kepada pembinaan empangan dan loji rawatan air semata-mata,” katanya.
Bagi penyelesaian jangka pendek dan sederhana, Lo berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan melalui kerjasama Jabatan Air Sabah bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Apas, Balung dan Sri Tanjong.
Antaranya termasuk pembinaan tangki simpanan air (steady tank), penyediaan kemudahan telaga tiub di beberapa kawasan serta penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki bagi membantu penduduk yang terjejas.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah yang menyediakan lori tangki air sebagai langkah sementara bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan.
Mengulas mengenai penyelesaian jangka panjang, Lo berkata kerajaan negeri sedang merancang projek penggantian paip lama di seluruh Sabah di bawah pelan pembangunan negeri.
Katanya, projek itu memerlukan peruntukan yang besar memandangkan rangkaian paip di banyak kawasan, termasuk Tawau, telah lama digunakan dan memerlukan penggantian menyeluruh.
“Penggantian paip bukan sahaja penting untuk mengurangkan kebocoran, malah dapat meningkatkan kualiti air kerana paip yang telah berkarat boleh menjejaskan mutu bekalan serta memberi kesan kepada kesihatan pengguna,” katanya.