TAWAU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berpuas hati dengan perkembangan pembinaan Empangan Cinta Mata selepas projek itu dilaporkan berjalan mengikut jadual dan dijangka siap sebelum penghujung tahun 2027.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau sendiri kemajuan projek berkenaan serta mendengar taklimat daripada pihak pelaksana.
Menurut Hajiji, berdasarkan taklimat yang diterima, kemajuan pembinaan berada pada landasan yang baik walaupun terdapat permohonan lanjutan tempoh pelaksanaan atas faktor-faktor tertentu yang dianggap penting.
“Daripada taklimat yang saya dengar, nampak progres projek ini baik dan mengikut jadual. Walaupun ada permohonan lanjutan, ia melibatkan perkara-perkara yang penting. Empangan ini dijangka siap sebelum hujung tahun 2027,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan empangan itu merupakan antara projek utama yang akan membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Tawau, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk di daerah berkenaan.
Katanya, isu bekalan air bukan sahaja dihadapi Tawau, malah turut melibatkan beberapa daerah lain di Sabah dan merupakan masalah yang telah lama diwarisi.
“Bukan Tawau sahaja yang menghadapi masalah ini, tetapi kebanyakan daerah lain di seluruh Sabah. Kita mewarisi masalah ini, bukan ia bermula pada zaman kerajaan hari ini.
“Namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan melakukan yang terbaik dengan menyediakan peruntukan bagi menyelesaikan masalah ini dan memastikan rakyat mendapat kemudahan bekalan air yang lebih baik,” katanya.
Mengulas prestasi kontraktor, Hajiji berkata beliau berpuas hati selepas dimaklumkan oleh pihak Jabatan Air dan perunding projek bahawa kerja-kerja pembinaan berjalan mengikut perancangan.
“Saya tanya tadi bagaimana prestasi kontraktor, dan mengikut laporan daripada pegawai Jabatan Air serta pihak perunding, prestasinya baik. Jadi kita akan teruskan pemantauan sebaik mungkin bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut sasaran,” katanya.
Empangan Cinta Mata merupakan antara projek infrastruktur bekalan air utama di Tawau yang dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu bekalan air di daerah itu apabila siap kelak.