Anak Jati Tawau Juara Den Kolam Pancing, Bawa Pulang RM300,000 Dengan Semangat ‘Sabah Tanah Airku’

Anak Jati Tawau Juara Den Kolam Pancing, Bawa Pulang RM300,000 Dengan Semangat ‘Sabah Tanah Airku’

TAWAU – Seorang anak jati Tawau mencuri perhatian ramai apabila muncul juara pertandingan Den Kolam Pancing di Ulu Yam dengan membawa pulang hadiah lumayan berjumlah RM300,000.

Menerusi perkongsian di Facebook Den Kolam Pancing HQ, juara pertandingan berkenaan dikenali sebagai Muhd Kadri, yang berasal dari Tawau, Sabah dan kini bekerja di Klang, Selangor.

Apa yang lebih mencuri tumpuan bukan sekadar kemenangan besar itu, tetapi semangat kenegerian yang dipamerkan Muhd Kadri ketika berada di pentas.

Dalam rakaman yang dikongsikan, beliau diminta untuk menyanyikan sebuah lagu. Tanpa ragu-ragu, Muhd Kadri memilih lagu “Sabah Tanah Airku”, sekali gus mengundang sorakan dan tepukan daripada orang ramai.

Tindakan spontan itu turut mendapat sambutan hangat dalam kalangan netizen yang membanjiri ruangan komen dengan pelbagai ucapan tahniah dan rasa bangga melihat anak Sabah tidak melupakan asal-usul walaupun mencari rezeki di Semenanjung.

Ramai menyifatkan pemilihan lagu negeri Sabah itu sebagai satu detik yang menyentuh hati dan mencerminkan semangat cintakan negeri kelahiran.

Kemenangan Muhd Kadri bukan sahaja membuktikan kehebatannya dalam arena memancing, malah turut menjadi kebanggaan warga Tawau apabila berjaya mengharumkan nama Sabah di pentas pertandingan dengan membawa pulang hadiah utama bernilai RM300,000.

Sumber: Facebook Den Kolam Pancing HQ.