PUTRAJAYA, 19 September 2026 – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah Rosli, menegaskan keutamaan beliau adalah memastikan tugasan dan amanah yang dipikul dilaksanakan, bukannya mengejar perhatian atau pengiktirafan.
“Saya tidak perlu mengambil kredit daripada pegawai dan agensi yang memang menjalankan amanah mereka.
“Saya mahu kerja berjalan. Bukan nama saya berjalan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Menurut Marhamah, pentadbiran Hal Ehwal Agama tidak dilaksanakan secara bersendirian oleh Menteri dan Timbalan Menteri, sebaliknya melibatkan 14 agensi dengan bidang kuasa masing-masing.
Antara agensi berkenaan ialah JAKIM, JAWI, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, MAIWP, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan YADIM.
Beliau berkata tidak semua gerak kerja kerajaan perlu diumumkan kepada umum kerana terdapat perkara yang perlu dibincangkan dalam mesyuarat, disemak oleh agensi atau melibatkan aspek hukum, penguatkuasaan dan undang-undang.
“Kerja kerajaan bukan ikut algoritma.
“Algoritma bertanya: ‘Apa yang sedang viral?’
“Amanah bertanya: ‘Apa yang sedang perlu diselesaikan?’” katanya.
Marhamah turut mengingatkan bahawa sesuatu tindakan tidak semestinya dapat dilihat melalui media sosial.
“‘Saya tidak nampak YB buat’ tidak sama dengan ‘YB tidak buat’.
“‘Saya tidak nampak kenyataan YB’ tidak sama dengan ‘Kerajaan tidak bertindak’,” katanya.
Dalam hantaran sama, beliau berkongsi mengenai pelbagai tugasan yang dilaksanakan termasuk menyantuni anak-anak di rumah pemulihan serta menghadiri mesyuarat berkaitan agenda halal, keluarga, wanita, OKU, Mahkamah Syariah, dakwah, haji, zakat, wakaf dan institusi agama.
Marhamah berkata beliau terbuka menerima pertanyaan, teguran dan kritikan daripada masyarakat sekiranya ia membantu memperbaiki pelaksanaan tugas.
“Saya tidak marah orang bertanya. Tanyalah. Tegurlah. Kritiklah. Kalau kami salah, betulkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan amanah tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan apa yang kelihatan di media sosial.
“Facebook kita bukan bilik gerakan kerajaan.
“Apa yang tidak muncul di skrin telefon kita bukan bermaksud ia tidak berlaku,” katanya.
#TawauKini