Cukur Jambul 51 Kanak-Kanak, Masjid Babul Khair Kg Titingan Terus Hidupkan Aktiviti Keagamaan

Cukur Jambul 51 Kanak-Kanak, Masjid Babul Khair Kg Titingan Terus Hidupkan Aktiviti Keagamaan

TAWAU : Seramai 51 kanak-kanak warga Kampung Titingan diraikan dalam program cukur jambul yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di Masjid Babur Khair, Kampung Titingan bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kampung Titingan. 

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen pihak masjid dalam menghidupkan pelbagai aktiviti berteraskan keagamaan untuk manfaat masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, hari ini seramai 51 anak-anak warga Kampung Titingan yang mengambil bahagian untuk disempurnakan cukur jambul mereka.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengerusi dan jawatankuasa Masjid Babur Khair Kampung Titingan kerana sentiasa menganjurkan aktiviti-aktiviti berbentuk keagamaan,” katanya.

Beliau turut menghargai usaha pihak masjid yang menganjurkan pelbagai program termasuk sambutan Maulidur Rasul, sekali gus menyediakan ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama mengimarahkan masjid.

Dalam perkembangan berkaitan, Nizam berkata kementerian yang diterajuinya turut memberi perhatian kepada usaha memperkasa golongan belia menerusi pelbagai program seperti latihan, kursus dan motivasi.

Menurut beliau, usaha itu penting bagi membantu belia memahami ruang dan peluang yang disediakan kerajaan, khususnya dalam membangunkan potensi diri.

Katanya, aspek ekonomi kreatif juga perlu diberi perhatian kerana terdapat golongan belia yang mempunyai kemahiran tetapi masih memerlukan bimbingan untuk mengembangkan kemahiran berkenaan sebagai sumber pendapatan.

“Ekonomi kreatif itu adalah satu aspek yang harus kita titikberatkan, khususnya bagi belia-belia yang ingin maju ke hadapan, yang mempunyai kemahiran tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengembangkannya lagi,” katanya.

Beliau berkata kemahiran dalam bidang seperti penciptaan kandungan, pertukangan dan penulisan, antara lain, boleh dikembangkan sebagai sebahagian daripada ekonomi kreatif.

Katanya, kementerian akan terus memberikan motivasi dan bimbingan supaya kemahiran yang dimiliki golongan belia dapat dikembangkan sehingga mampu menjana pendapatan secara lebih berdikari.

Sementara itu, Nizam turut memuji usaha pihak masjid yang memberikan penghargaan kepada jemaah yang sentiasa hadir dan memberikan sokongan terhadap program serta aktiviti kemasyarakatan.

Menurutnya, pengiktirafan seumpama itu boleh menjadi suntikan semangat kepada jemaah untuk terus aktif menyokong kegiatan masjid, selain menjadi contoh kepada jemaah yang lain.

“Ini adalah satu suntikan semangat untuk mereka dan boleh menjadi satu anjakan untuk mereka lebih maju serta menjadi contoh kepada jemaah-jemaah yang lain,” katanya.