PUTRAJAYA – Ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang atau memberi tekanan kepada anak-anak untuk memperoleh skor tinggi dalam Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) kerana pentaksiran itu bukan peperiksaan berimpak tinggi.
Menurut artikel yang diterbitkan Utusan Malaysia, seramai 460,771 murid Tahun Empat di seluruh negara menduduki MPT4 yang berlangsung sehingga 8 Oktober.
Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan (LP), Ab Aziz Mamat berkata, MPT4 diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai satu pengukuran tahap pembelajaran murid, khususnya bagi mengenal pasti penguasaan dalam aspek literasi dan numerasi.
Beliau berkata, dapatan MPT4 bertujuan membantu pihak sekolah dan guru mengenal pasti kekuatan serta aspek pembelajaran yang masih memerlukan sokongan.
“Maklumat pentaksiran ini akan membantu KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah dan guru merancang tindakan susulan serta intervensi yang lebih sesuai dengan keperluan pembelajaran murid.
“Maklumat ini juga membantu ibu bapa memberi sokongan pembelajaran di rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bukan peperiksaan untuk menentukan masa depan anak
Perkara paling penting untuk difahami ibu bapa ialah MPT4 bukan peperiksaan pemilihan atau penentuan penempatan murid.
Menurut Ab Aziz, keputusan MPT4 juga tidak digunakan sebagai kriteria kemasukan ke sekolah khusus.
Kemasukan ke sekolah khusus kekal menggunakan kaedah sedia ada menerusi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
Justeru, ibu bapa tidak perlu melihat skor MPT4 sebagai sesuatu yang menentukan kedudukan atau masa depan pendidikan anak.
Jangan bandingkan anak dengan murid lain
Pelaporan MPT4 juga tidak sepatutnya dijadikan ukuran untuk membandingkan pencapaian antara murid atau sekolah.
Sebaliknya, keputusan itu perlu dilihat sebagai maklumat mengenai perkembangan pembelajaran anak.
Ab Aziz turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak memberi tekanan kepada anak-anak untuk mencapai skor tertentu kerana matlamat utama MPT4 adalah mengenal pasti tahap penguasaan pembelajaran.
Daripada keputusan tersebut, kekuatan anak dapat dikenal pasti, selain aspek yang memerlukan penambahbaikan.
Jadi, apa yang ibu bapa perlu lakukan?
Ibu bapa boleh menggunakan maklumat MPT4 sebagai panduan untuk memahami keperluan pembelajaran anak di rumah.
Sekiranya terdapat aspek pembelajaran yang masih lemah, sokongan boleh diberikan secara bersesuaian bersama guru dan pihak sekolah.
Pada masa sama, pihak sekolah boleh merancang intervensi berdasarkan keperluan dan konteks murid masing-masing.
MPT4 juga melengkapi maklumat pentaksiran lain yang diperoleh guru melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Ringkasnya, ibu bapa tidak perlu melihat MPT4 sebagai pertandingan untuk mendapatkan markah tertinggi.
Sebaliknya, ia merupakan satu usaha untuk mengesan jurang pembelajaran lebih awal, memahami keperluan anak dan membolehkan sokongan yang lebih bersasar diberikan.