TAWAU – Keperluan sektor kesihatan di Sabah perlu terus diberi perhatian menerusi peruntukan yang bersesuaian, selain penyelesaian jangka panjang terhadap isu kekurangan tenaga kerja dan penempatan doktor kontrak.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, YB Datuk Rina Haji Jainal berkata, peningkatan peruntukan kesihatan merupakan perkembangan positif dalam usaha memenuhi keperluan rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, usaha memperkukuh sektor kesihatan juga berkait rapat dengan perjuangan merealisasikan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata demikian ketika mengulas peruntukan kesihatan dalam Belanjawan 2027 serta cadangan penyerapan lebih 15,000 doktor kontrak ke jawatan tetap.
Mengulas mengenai penyerapan doktor kontrak, Rina berpandangan perkara itu perlu diperhalusi dari segi pelaksanaan dan keperluan semasa, memandangkan langkah berkenaan sahaja belum tentu dapat menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja secara menyeluruh.
Katanya, penyelesaian lebih tuntas diperlukan bagi memastikan keperluan kakitangan di hospital dan daerah dapat dipenuhi berdasarkan data serta keperluan sebenar.
“Masalah ini tidak pernah selesai dari dahulu dan saya fikir kita perlu menyelesaikannya secara tuntas, bukan hanya melalui sistem kontrak,” katanya.
Menurut beliau, keperluan tenaga kerja dan kos bagi setiap hospital serta daerah sudah dikenal pasti, namun cabaran utama adalah untuk mengisi kekosongan yang masih ada.
Walaupun setakat ini beliau memaklumkan belum menerima laporan kes pesakit yang tidak mendapat rawatan, isu kekurangan kakitangan perlu ditangani lebih awal bagi mengelakkan masalah lebih besar pada masa hadapan.
Rina turut mengakui isu berkenaan bukan hanya berlaku di Sabah, malah turut menjadi cabaran di Semenanjung Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyambut baik penambahan interim sebanyak RM1.8 juta yang disebut dalam ucapannya, selain berharap Belanjawan 2027 dapat memberikan perhatian lebih besar terhadap keperluan infrastruktur yang masih belum diselesaikan.
Katanya, pembangunan infrastruktur penting bagi memudahkan pergerakan rakyat dari daerah berbeza, termasuk untuk menyertai program kemasyarakatan dan sukan.

Beliau mengambil contoh pertandingan pickleball anjuran Pink Ribbon dengan kerjasama Fuji Pickleball Club Tawau yang berjaya menghimpunkan kira-kira 136 peserta wanita dari sekitar Tawau, selain penyertaan pasukan dari Sandakan.
Menurutnya, kemudahan jalan raya yang baik dapat membantu lebih ramai penduduk menyertai aktiviti sedemikian, sekali gus menyokong aspek kesihatan, kesejahteraan dan ekonomi masyarakat.
Rina berharap usaha meningkatkan peruntukan serta menambah baik infrastruktur dapat dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat.
Katanya, matlamat akhirnya adalah membina sistem yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan menjaga kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.