KOTA KINABALU: Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor, hari ini mengumumkan Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di 29 DUN pada pilihan raya negeri.
Gabungan itu akan diwakili PPBM, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), dan Parti Maju Sabah (SAPP). Beliau tidak pun menyebut sama ada PAS akan meletakkan calon.
BERTEMBUNG DENGAN PARTI KOMPONEN SENDIRI
Hajiji memaklumkan pertembungan PN akan bertanding di 3 kerusi yang mungkin menyaksikan ia bertembung dengan parti rakan, iaitu Umno di di DUN Paginatan dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di DUN Tulid dan DUN Sook.
Diminta memberikan pecahan kerusi antara komponen PN, Hajiji menjawab: “Kita tidak bercakap soal parti apa di sini, kita hanya bercakap mengenai Perikatan Nasional.”
SEKADAR UMUM CALON PERIKATAN NASIONAL
Turut hadir pada sidang media di pejabat PPBM Sabah adalah Presiden STAR, Jeffrey Kitingan, dan Presiden SAPP, Yong Teck Lee.
Ditanya mengenai pertindihan dengan Umno dan PBRS, Hajiji berkata beliau belum mengesahkan perkara itu.
“Saya belum dapat menjawab persoalan ini…sebelum ini kami telah bincang dengan mereka,” katanya, menegaskan sidang media hari ini hanya untuk mengumumkan calon PN.