TAWAU : Didalam Op Bantu Peringkat Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Seramai 54 Ketua Isi Rumah (KIR) di daerah ini menerima bantuan bakul makanan di sini hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas, pihaknya menerima dana daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjalankan Op Bantu di peringkat IPD.
“Bagi mencapai objektif tersebut, kami telah mewar-warkannya kepada masyarakat melalui Pusat Gerakan dan Facebook rasmi IPD Tawau.
“IPD Tawau telah menerima pendaftaran seramai 554 orang yang memohon bantuan tersebut termasuk daripada kawasan pendalaman,” katanya semasa menyampaikan bantuan tersebut, di sini. katanya semasa menyampaikan bantuan tersebut, di sini.
Katanya, IPD Tawau akan membuat siasatan awal untuk memastikan kesahihan keadaan mereka yang mendaftar sebelum diberikan bantuan tersebut.
“Kita mahu berikan kepada mereka yang betul-betul terjejas dan memerlukan sahaja kerana bantuan tersebut sangat terhad,” katanya.
Peter berkata, pihaknya juga telah turun padang terutamanya di kawasan pendalaman untuk mengagihkannya sendiri bantuan tersebut.
“Sebelum ini kami sudah pergi ke kawasan Serudong Laut bersama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan untuk memberikan bantuan itu kepada penduduk di sana.
“Kami juga sudah pergi ke kampung Lundayeh untuk agihan yang sama seterusnya akan ke kawasan-kawasan lain di pendalaman di Tawau dan Kalabakan,” katanya.
Menurutnya, Op Bantu ini akan memberikan tumpuan kepada mereka yang betul-betul terjejas pendapatan akibat wabak COVID-19.
“Kami juga faham kesukaran penduduk di pendalaman datang ke bandar semata-mata untuk mengambil bantuan ini kerana mereka memerlukan kos sekurang-kurangnya RM100.
“Oleh itu, IPD Tawau mengambil inisiatif untuk datang ke tempat mereka memberikan sendiri bantuan tersebut,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo