Nurani – Rantaian Rezeki

 

Pelbagai Bentuk Rahmat

Al-Qurtubi menjelaskan tafsiran “rahamt” dalam ayat ini membawa maksud yang pelbagai termasuk perutusan para rasul, dorongan untuk berdoa, bertaubat dan taufiq dan hidayah daripada Allah untuk melakukan ketaatan. 

Apabila Allah mengurniakan rahmatNya dalam bentuk-bentuk itu tiada siapa yang mampu menghalang nya. Selain itu, rahmat juga dimaksudkan sebagai hujan yang datangnya mampu menyuburkan dan menumbuhkan tanaman. 
Selain itu, rahmat bermaksud pemberian rezeki oleh-Nya. Kesimpulannya penggunaan perkaatan “rahmat” dalam bentuk nakirah yakni umum bagi menunjukkan kepelbagaian nikmat. Semua anugerah yang berbentuk kebaikan merupakan rahmat. Apabila Allah mentakdirkan untuk memberinya kepada mana-mana makhlukNya, maka tiada sesuatupun yang dapat menghalang. 

Rezeki Milik Allah

Allah memerintahkan manusia untuk memahami bahawa kuasa memberikan rezeki itu milikNya secara mutlak. Al-Raziq dan Al-Razzq antara nama Allah. Maksudnya pemberi dan mencukupkan rezeki untuk seluruh makhluk. Dia mencukupkan rezeki sebelum menciptakan alam dan Dia bertanggungjawab menyempurnakan rezeki mereka sebelum kematian tiba. Allah telah menetapkan rezeki buat setiap makhlukNya baik di dunia mahupun diakhirat, sebelum mereka diciptakan. 

Rantaian Rezeki 

Menariknya, penganugerahan rezeki oleh Allah berterusan selagi manusia saling memberi. Sistem rantai yang wujud sesama manusia ini membuktikan kekayaan anugerahNya lalu diagih-agihkan kepada setiap manusia bahagian masing-masing.

Seorang pekerja membawa pulang wang hasil kerjanya lantas membeli keperluan rumah. Penjual pula mendapat wang untuk membeli daripada pihak pembekal. Pembekal pula memperoleh haknya daripada daripada pengilang. Pengilang mendapat bahan mentah daripada pihak yang lain. Pihak itu pula mendapatkannya daripada pengusaha, penternak dan petani. Para penternak, petani dan pengusaha pula mendapat rezeki hasil daripada peluh yang dicurahkan.


Segala yang diusahakan itu anugerah daripada Allah yang bersifat Al-Raziq dan Al-Razzaq. Dialah yang menjadikan rezeki dan menetapkan untuk setiap individu dalam rantai hubungan yang membentuk kesalingan dan saling memerlukan. 

Jangan Sampai Terpedaya



Memahami hakikat bahawa pemberi dan penyedia rezeki ialah Allah, maka kita mestilah memperbetulkan silap faham yang berlaku hari ini. Sebahagian manusia sanggup melakukan apa sahaja asalkan mendapat apa yang dikehendaki. Hinggakan dia sanggup menganiaya, menipu malah membunuh. Golongan yang tertipu dek syaitan ini menyangka rezeki diperoleh melalui jalan-jalan kederhakaan.

Syaitan telah menghiaskan cara berfikir mereka hingga golongan ini merasakan bahawa itulah cara untuk mendapat rezeki dan harta. Malang sekali bagi mereka kerana pemerolehan dengan cara yang haram hanya akan menambahkan derita dan kesusahan tanpa disangka-sangka. 

Allah berfirman: “Dan apa jua yang menimpa kamu dalam bentuk kesusahan, disebabkan oleh perbuatan kamu sendiri. Allah memaafkan sebahagian besar dosa-dosamu” (Al-Syura 42:30)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *