Hindari Penyakit Hati, Agar Tidak Cetus Perkara Buruk

 

Setiap insan mempunyai kalbu dalam diri yang akan menentukan tindakan seseorang insan. Kalbu merupakan perkataan yang berasal daripada Bahasa Arab dan didalam Bahasa Melayu ia dapat difahami sebagai hati. Hati yang ada pada setiap manusia merupakan pusat kepada segala perasaan batin atau sanubari. Setiap manusia memiliki hati untuk sebenarnya mengatur kehidupan kerana setiap tindakan pasti dengan niat. Niat pula tempatnya dalam hati. 



Hati boleh jadi tempat yang diselubungi penyakit sekiranya tidak dijaga dengan baik. Ada orang yang tidak boleh melihat orang lain bahagia melebihi kebahagiaan yang dinikmatinya. Walaupun keadaan orang lain sedikit pun tidak memberi kesan terhadap perjalanan hidupnya, namun dirinya tidak senang melihat kebahagiaan orang lain. Inilah antara bukti hati seseorang sedang dilanda penyakit. 


Rasulullah SAW telah menyatakan kepentingan menjaga hati dalam membentuk sahsiah diri, sepertimana dalam sabda Baginda : “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati”


Jelaslah bahawa hati merupakan anggota dalam badan yang perlu dipelihara agar tidak mencetuskan perkara buruk (mazmumah) yang ditunjukkan menerusi perbuatan fizikal. Benarlah pepatah Melayu banyak menyentuh tentang ‘hati’ sehingga orang yang baik dikenali sebagai orang yang baik hati. 

Dengan itu, marilah kita bersama menjaga hati yang telah dikurniakan tuhan dengan sebaiknya agar terhindar daripada sebarang penyakit. Kerana, jika ianya mula dijangkiti dengan penyakit hati, kesakitannya tidak dirasai tapi tetapi cukup untuk membuatkan diri terjerumus ke dalam perkara-perkara buruk. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *