KUALA LUMPUR – Isu lebih 10,000 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak hadir peperiksaan masih ditahap yang selamat. Jumlah ini bukan trend yang membimbangkan. Namun, tindakan segera perlu dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengurangkan angka ketidakhadiran yang berlaku pada peperiksaan akan datang.
Menurut Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singo, isu itu berlaku setiap tahun dengan jumlah ketidakhadiran calon yang hampir sama. Daripada jumlah ini, anggaran purata bagi setiap sekolah hanya lima orang pelajar.
Beliau turut menambah “Isu ini tidak perlu dipolemikkan pelbagai pihak, termasuk KPM yang sepatutnya tahu punca berlakunya perkara ini. “Masalah ketidakhadiran calon ini sukar untuk diselesaikan sepenuhnya tapi boleh dikurangkan. Jika tahu siapa calon terbabit dan data jenis calon itu perlu dibentangkan KPM,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Semalam, ketika pengumuman analisis keputusan SPM 2023, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, memaklumkan seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu. Azman mengakui jumlah ketidakhadiran itu perlu ditangani dan diteliti supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Mengulas lanjut, Fouzi berkata, antara punca yang dipercayai menjadi faktor ketidakhadiran calon itu adalah calon persendirian yang bekerja, calon berhenti sekolah akibat tidak minat belajar. Selain itu, turut terdapat pelajar dibuang sekolah kerana masalah disiplin serta calon sakit yang tidak melaporkan atau ditahan wad.
Sementara itu, Setiausaha Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Mohd Azizee Hasan mencadangkan KPM merangka pelan pemulihan bagi mengatasi masalah itu. Pelan ini perlu membabitkan kerjasama semua pihak, terutama ibu bapa dan komuniti.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini