KOTA KINABALU, 12 Februari 2026 – “Daerah mau di letgo condition 8/10 sebab bulan bulan banjir.” Itu seloroh seorang pengguna media sosial dikenali sebagai ‘zee’, dipercayai dari Beaufort, yang memuat naik video berdurasi 20 saat dengan latar lagu ‘jedag jedug’, menyindir keadaan daerah itu yang kembali dilanda banjir.
Klip satira itu kini meraih lebih 2,000 reaksi dan hampir 30,000 tontonan, dengan rata-rata netizen memahami nada gurauan yang terselit rasa penat berdepan situasi banjir berulang.
Sejak semalam, Beaufort sekali lagi terjejas akibat banjir hingga memaksa sembilan sekolah ditutup. Lapan sekolah dinaiki air iaitu SK Klias Baru, SK Suasa, SK Lago, SK Mempagar, SK Batu 60, SK Kabajang, SK Jabang dan SM St Paul, manakala SK Lupak tidak dapat beroperasi kerana laluan dinaiki air.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Dr Raisin Saidin, berkata pihaknya turut mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membawa pengawas peperiksaan STPM ulangan ke SMK Gadong yang terjejas aksesnya.
Banjir kali ini merupakan kejadian kedua dalam tempoh sebulan melanda daerah berkenaan. Setakat jam 4 petang tadi, seramai 154 mangsa daripada 53 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon di Beaufort, selepas daerah itu diisytiharkan kawasan bencana banjir pada jam 9 pagi oleh Pengerusi JPBD Beaufort, Nazri Ajun.
Secara keseluruhan, 355 mangsa membabitkan dua daerah iaitu Beaufort dan Sipitang dipindahkan ke pusat pemindahan susulan hujan berterusan dan cuaca tidak menentu.
Walaupun disampaikan secara santai, video ‘zee’ itu jelas menggambarkan realiti yang saban tahun menghantui penduduk, Beaufort mungkin “8/10”, tetapi isu banjir masih jadi ujian utama.
#TawauKini

