Festival Makanan Tradisi Tawau Tarik Lebih 10,000 Pengunjung, Perkukuh Silaturahim Komuniti

TAWAU – Festival Makanan Tradisi Tawau sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi kawasan N71 Tanjung Batu berjaya menarik kehadiran luar jangkaan apabila dianggarkan lebih 10,000 pengunjung membanjiri lokasi penganjuran pada malam tersebut.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Andi Shamsureezal, berkata program berkenaan diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di daerah ini.

Menurut beliau, festival yang dianjurkan itu bukan sahaja menjadi platform meraikan Aidilfitri, malah berperanan sebagai medium menyatukan masyarakat melalui warisan makanan tradisi tempatan.

“Alhamdulillah pada malam ini kita telah mengadakan satu festival makanan tradisi Tawau bersekali dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi N71 Tanjung Batu. Kehadiran pada malam ini sangat ramai, di luar jangkaan kami.

“Tujuan utama program ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat, selaras dengan semangat Hari Raya Aidilfitri yang menekankan nilai perpaduan dan saling bermaafan,” katanya dalam sidang media sempena program tersebut.

Lebih 40 Jenis Makanan Tradisi Disajikan

Festival berkenaan menampilkan kira-kira 40 jenis makanan tradisi daripada pelbagai kaum di Tawau, termasuk hidangan seperti buras, pulut, bubur, sate dan pelbagai jenis kuih tradisional.

Menurut beliau, kepelbagaian makanan yang disediakan mencerminkan kekayaan budaya masyarakat pelbagai etnik di daerah ini, termasuk kaum Bugis, Melayu, Bajau dan Jawa.

“Kita membawakan lebih kurang 40 gerai makanan tradisi yang mewakili pelbagai kaum. Ini menunjukkan kepelbagaian budaya yang ada di Tawau dan menjadi satu tarikan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga sebahagian makanan hampir habis sebelum jam 10 malam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Tourism Malaysia Sabah serta Sabah Tourism Board atas kerjasama dalam menjayakan penganjuran festival berkenaan.

Kerajaan Negeri Kaji Bantuan Kepada Industri Pelancongan

Dalam perkembangan lain, Andi Shamsureezal memaklumkan bahawa kementerian beliau sedang mengkaji langkah-langkah bantuan kepada pemain industri pelancongan yang berkemungkinan terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi dan kos bahan api.

Menurut beliau, satu mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan bentuk bantuan yang sesuai sekiranya situasi semasa berterusan.

“Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk bantuan kewangan secara ‘one-off’ seperti yang dilaksanakan ketika pandemik COVID-19, selain kemungkinan berbincang dengan kerajaan Persekutuan bagi menambah subsidi bahan api kepada pemain industri pelancongan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu bersedia lebih awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya krisis berpanjangan berlaku, demi memastikan industri pelancongan di Sabah terus kekal berdaya tahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *