KOTA KINABALU, 21 April 2026 – Penganjur Songkran Sunset Splash Run, KSRun Athletic Club, tampil memberikan penjelasan susulan pelbagai reaksi orang awam berhubung penganjuran acara tersebut, khususnya berkaitan penggunaan air dan konsep acara yang dikaitkan dengan elemen budaya tertentu.
Dalam kenyataan rasmi, pihak penganjur menegaskan acara berkenaan bukan sebuah festival budaya, sebaliknya merupakan fun run yang digabungkan dengan elemen water experience sebagai pengisian selepas larian bagi memberikan pengalaman berbeza kepada peserta.
Menurut mereka, penggunaan nama “Songkran” dipilih berdasarkan asal usul perkataan Sanskrit yang membawa maksud pergerakan, peralihan dan perubahan, selari dengan semangat acara larian yang menekankan tenaga positif dan pengalaman dinamik.
“Acara ini tidak mewakili atau meniru mana-mana festival budaya secara khusus, dan tidak bertujuan untuk dikaitkan secara langsung dengan amalan budaya negara lain.
“Kami dengar. Kami belajar. Kami akan jadi lebih baik,” menurut kenyataan itu.
Pihak penganjur turut menjelaskan bahawa penggunaan air dalam acara berkenaan telah dirancang sejak enam bulan lalu dan dibeli sepenuhnya oleh pihak mereka sebagai salah satu tarikan utama bagi meningkatkan pengalaman peserta.
Malah, acara itu berjaya menarik penyertaan dari pelbagai lokasi termasuk luar Sabah, Singapura, Kuala Lumpur, Sarawak dan Brunei, selain kehadiran pelancong yang secara tidak langsung memberi kesan positif kepada sektor pelancongan tempatan.
KSRun Athletic Club berkata para peserta telah membuat komitmen besar termasuk pembayaran yuran, tempahan penginapan dan pembelian tiket penerbangan, justeru mereka tidak boleh menganjurkan acara itu secara sambil lewa.
Dalam masa sama, mereka mengakui terdapat kelemahan dari sudut komunikasi kepada orang awam sehingga menimbulkan salah faham mengenai objektif sebenar acara tersebut.
Sehubungan itu, pihak penganjur memaklumkan bahawa mereka akan lebih berhati-hati pada masa akan datang, terutama dalam pemilihan nama acara serta penyampaian maklumat supaya lebih jelas dan sensitif kepada semua pihak.
#TawauKini


