TAWAU – Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2026 kembali dengan pengisian lebih meriah apabila menghimpunkan 32 etnik tempatan serta penyertaan delegasi dari empat negara, sekali gus menyasarkan kehadiran melebihi 50,000 pengunjung pada malam kemuncaknya, 1 Ogos ini.
Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) merangkap Pengerusi Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, berkata FKAT yang memasuki edisi ke-11 itu berlangsung bermula 25 Julai hingga 1 Ogos 2026, dengan pelbagai aktiviti disusun sebelum acara kemuncak.
Menurut beliau, delegasi antarabangsa yang mengambil bahagian pada tahun ini ialah dari Uzbekistan, Kazakhstan, Kemboja dan Indonesia, dengan rombongan dari Nunukan, Indonesia terus menjadi rakan tetap festival sejak penganjurannya.
“Tahun ini kita menjemput empat delegasi luar negara bagi memeriahkan festival, di samping memperkukuhkan hubungan budaya antara Tawau dengan komuniti antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media berkaitan penganjuran FKAT 2026.

Mohd Shoffian berkata, antara kelainan pada penganjuran kali ini ialah penyampaian Anugerah Penghargaan Khaskepada tokoh-tokoh yang mencetuskan idea penubuhan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau.
Katanya, penghargaan itu diberikan kepada Allahyarham Datuk Haji Taufik, Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, Datuk Ismail Mayakub, serta bekas Pengurus Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Datuk Rosmadi Datuk Sulai, atas jasa mereka membangunkan festival sehingga menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan.
“Ini adalah penghargaan kepada individu-individu yang menjadi pencetus idea dan penggerak awal FKAT sehingga festival ini mampu berkembang dan dikenali seperti hari ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan majlis perasmian FKAT 2026 akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, pada 1 Ogos, jam 8 malam.
Dari aspek persembahan kebudayaan, beliau berkata sebanyak 32 etnik tempatan dijadualkan mengambil bahagian tahun ini, meningkat berbanding penganjuran terdahulu, selain diserikan dengan persembahan khas daripada empat delegasi antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya, hanya sekitar 30 etnik dijangka membuat persembahan susulan beberapa kekangan yang dihadapi peserta.
Dalam pada itu, Mohd Shoffian mengajak orang ramai dari Tawau serta daerah berhampiran seperti Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Kalabakan untuk hadir memeriahkan festival berkenaan.
Beliau pada masa sama mengingatkan pengunjung supaya bersama-sama menjaga keselamatan, kebersihan dan kesantunan sepanjang festival berlangsung agar FKAT terus dikenali sebagai acara kebudayaan bertaraf antarabangsa yang membanggakan Sabah.
“Kita pernah merekodkan kehadiran sekitar 50,000 pengunjung dan berharap jumlah itu dapat dikekalkan atau lebih tinggi pada tahun ini,” katanya.