TAWAU – Supt. Rosdi Mat Jusoh dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Tawau dengan memangku pangkat Asisten Komisioner Polis (ACP).
Menerusi Facebook rasmi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah, seluruh warga jabatan itu merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada beliau atas kenaikan pangkat serta pelantikan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kenaikan pangkat dan amanah baharu yang diberikan diharap menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan dalam memimpin organisasi, memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepolisan serta terus menyumbang bakti demi keselamatan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat.
“Warga JSPT IPK Sabah mendoakan agar YDH Tuan terus dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan, kebijaksanaan dan kejayaan dalam menggalas tanggungjawab serta amanah yang diberikan,” menurut kenyataan itu.
JSPT Kontinjen Sabah turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Rosdi dalam melaksanakan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Tawau yang baharu.
Sumber: Facebook rasmi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah.