KOTA KINABALU – Kerjasama strategik antara Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah bakal diperkukuhkan bagi memastikan penyampaian dasar kerajaan lebih berkesan, sekali gus membendung penularan berita palsu dalam kalangan masyarakat.
Pengarah UPPM, Datuk Awang Kadin Tang JP berkata, perkembangan teknologi digital yang semakin pesat menyebabkan orang ramai kini mudah terdedah kepada pelbagai maklumat daripada sumber tidak rasmi yang belum tentu sahih.
Menurut beliau, keadaan itu menuntut UPPM mengambil langkah lebih proaktif dengan mempereratkan kerjasama bersama JAPEN Sabah supaya rakyat menerima maklumat yang tepat dan berautoriti.
“Apabila masyarakat memperoleh fakta yang benar, ia akan membantu melancarkan pelaksanaan agenda pembangunan negeri yang dirancang oleh Kerajaan Sabah.
“Dengan kekuatan 73 pejabat UPPM di seluruh Sabah, antara tanggungjawab utama kami ialah turun padang bagi menyampaikan pelbagai dasar, program dan inisiatif kerajaan secara terus kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengarah JAPEN Sabah, Jainisah Mohd Noor di Ibu Pejabat UPPM, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Awang Kadin berkata kedua-dua agensi kini sedang memperkemaskan pendekatan komunikasi supaya penyampaian maklumat kerajaan lebih berkesan dan mudah difahami, khususnya oleh masyarakat di kawasan pedalaman.
Dalam masa sama, beliau berkata UPPM turut memperluaskan kerjasama dengan beberapa agensi Persekutuan menerusi penganjuran Program Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Komuniti UPPM 2026.
Katanya, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melibatkan penyertaan Ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Setiausaha Kampung, Ketua Anak Negeri serta Kapitan.
“Program ini telah berjaya dilaksanakan di Sandakan, Tawau dan Kota Marudu sepanjang Jun lalu, manakala Beaufort, Kota Kinabalu serta Keningau akan menjadi lokasi penganjuran seterusnya dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, Jainisah berkata JAPEN Sabah komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan UPPM melalui pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi pada masa hadapan.
Beliau berkata, JAPEN sentiasa memperkenalkan pendekatan baharu dalam penyampaian maklumat termasuk menerusi konsep ‘infotainment’ yang menggabungkan elemen penerangan dan hiburan bagi menarik minat masyarakat terhadap maklumat kerajaan.
Selain itu, katanya, penggunaan media sosial turut terus diperkasakan memandangkan platform tersebut kini menjadi saluran utama orang ramai mendapatkan maklumat secara pantas dan mudah.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah JAPEN Sabah, Azman Sipan serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Peter Tong Ah Pin.
Sumber : Sayang Sabah