LRA Apas Balung Kini Beroperasi Pada Kapasiti Penuh, Bekalan Air Tawau Dipulihkan Berperingkat

LRA Apas Balung Kini Beroperasi Pada Kapasiti Penuh, Bekalan Air Tawau Dipulihkan Berperingkat

TAWAU – Proses pemulihan bekalan air di kawasan terjejas memasuki perkembangan positif apabila Loji Rawatan Air (LRA) Apas Balung Fasa 2 mula beroperasi lewat malam tadi.

Menurut makluman Facebook rasmi Jabatan Air Bahagian Tawau, pengoperasian semula Fasa 2 membolehkan LRA Apas Balung Fasa 1 dan Fasa 2 kini beroperasi pada kapasiti penuh.

Susulan itu, proses pengisian tangki-tangki simpanan sedang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan bekalan air kepada pengguna yang terjejas.

Bagaimanapun, Jabatan Air Sabah memaklumkan bekalan air dijangka mengambil sedikit masa sebelum kembali stabil sepenuhnya, khususnya bagi kawasan yang berada jauh dari loji serta kawasan berkedudukan tinggi.

Dalam tempoh pemulihan ini, pengguna masih berkemungkinan mengalami tekanan air rendah atau bekalan yang belum pulih sepenuhnya.

Bagi membantu keperluan pengguna sepanjang tempoh peralihan, operasi penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki akan terus dilaksanakan mengikut keperluan sehingga keadaan kembali stabil.

Perkembangan ini pastinya memberi sedikit kelegaan kepada penduduk Tawau yang sebelum ini berdepan gangguan bekalan air, khususnya selepas kejadian banjir yang berlaku sebelum ini dan turut memberi kesan kepada operasi sistem bekalan air.

Dalam pada itu, TawauKini turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Air Bahagian Tawau yang sentiasa menyalurkan maklumat dan perkembangan semasa berkaitan keadaan bekalan air di Tawau.

Maklumat yang dikongsikan secara berkala amat penting bagi membolehkan orang ramai mengetahui status pemulihan serta merancang keperluan harian sepanjang tempoh gangguan.

TawauKini juga merakamkan penghargaan kepada seluruh masyarakat Tawau yang terus bersabar, memahami dan memberikan kerjasama sepanjang berdepan situasi bekalan air yang tidak menentu.

Dengan LRA Apas Balung Fasa 1 dan Fasa 2 kini kembali beroperasi pada kapasiti penuh, diharapkan bekalan air di seluruh kawasan terjejas dapat kembali stabil sepenuhnya dalam masa terdekat.