KUDAT – Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan sebanyak RM4.06 bilion bagi melaksanakan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah dalam usaha menangani masalah bekalan air bersih di kawasan desa dan luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata peruntukan berkenaan disediakan bagi memastikan isu bekalan air bersih di kawasan luar bandar dapat ditangani secara menyeluruh.
Menurut beliau, pelaksanaan projek BALB telah dimulakan, namun keseluruhan pelaksanaannya akan dikendalikan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Mulai 1 Januari 2027, pelaksanaan projek ini akan dijalankan sepenuhnya oleh kerajaan negeri, manakala Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus memantau serta membantu dari segi pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Kebudayaan Rungus di Matunggong, di sini.
Ahmad Zahid berkata, perhatian turut diberikan kepada kawasan luar bandar seperti Kudat, Kota Marudu dan Pitas, yang merupakan antara daerah termiskin di Malaysia.
Katanya, pembangunan infrastruktur asas, khususnya bekalan air dan elektrik, menjadi antara keutamaan kerajaan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta membantu usaha membasmi kemiskinan tegar di Sabah.
Sumber : Berita RTM