Ragbi Makin Berkembang Di Tawau, Andi Suryady Tekankan Keperluan Fasiliti

Ragbi Makin Berkembang Di Tawau, Andi Suryady Tekankan Keperluan Fasiliti

TAWAU – Tawau mempunyai potensi besar untuk terus mengembangkan sukan ragbi susulan jumlah pemain yang ramai, namun aspek fasiliti dan infrastruktur khususnya padang ragbi perlu diberi perhatian lebih serius.

Ahli Parlimen Kalabakan, YB Datuk Andi Muhammad Suryady Haji Bandi, berkata kekuatan Tawau dan Sabah terletak pada pemain-pemain yang mempunyai potensi, terutama di Tawau.

Datuk Andi Suryady menyampaikan hadiah kepada pasukan ragbi yang bertanding
Datuk Andi Suryady menyampaikan hadiah kepada pasukan ragbi yang bertanding

“Sememangnya ramai, terutamanya di Tawau ini. Tetapi saya nampak ada sedikit kekurangan daripada segi fasiliti, terutamanya di daerah Tawau,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Terbuka Sabah Antara Kelab Seluruh Malaysia, Ragbi 10’s Piala YB Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan.

Menurutnya, fasiliti ragbi yang lebih baik di Sabah ketika ini terdapat di Sandakan, justeru peningkatan infrastruktur di Tawau perlu diberi perhatian.

“Sebagai contoh, padang ragbi tidak ada. Ada pun tetapi tidak menepati syarat-syarat yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, bukan sahaja kemudahan padang, malah aspek kejurulatihan dan pengurusan juga boleh terus dipertingkatkan bagi menyokong perkembangan sukan ragbi di daerah berkenaan.

Ragbi 10’s Piala Nizam Jadi Platform Perkasa Sukan

Dalam pada itu, Andi Suryady menyifatkan penganjuran Kejohanan Terbuka Sabah Antara Kelab Seluruh Malaysia, Ragbi 10’s Piala YB Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan sebagai satu usaha baik untuk memartabatkan dan meningkatkan lagi sukan ragbi di Sabah.

Kejohanan yang berlangsung pada 26 dan 27 September 2026 di Kompleks Sukan Tawau itu dianjurkan PMAB Sabah bersama Warrior’s Ragbi Club.

Menurut Andi Suryady, penganjuran tersebut berjaya menarik penyertaan pasukan dari Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Keningau, selain menyaksikan persaingan antara kelab dalam suasana yang baik dan sihat.

Pasukan Bunga Raya All Boys dari Kuala Lumpur muncul juara selepas menewaskan Tawau All Boys dalam perlawanan akhir.

Datuk Andy Suryady merakamkan gambar kenangan bersama pasukan ragbi yang bertanding
Datuk Andy Suryady merakamkan gambar kenangan bersama pasukan ragbi yang bertanding

“Alhamdulillah program ini berjalan dengan baik dan lancar. Satu usaha yang dibuat ke arah memartabatkan dan meningkatkan lagi sukan ragbi di negeri Sabah.

“Pada keseluruhannya, saya fikir ia wajar dijadikan acara tahunan dan komuniti ragbi ini boleh diperkembangkan lagi,” katanya.

Beliau turut melihat penganjuran kejohanan seperti itu sebagai salah satu platform untuk mengembangkan komuniti ragbi di Sabah, khususnya dengan menghimpunkan pasukan dari pelbagai kawasan dalam satu kejohanan.

Andi Suryady berkata semua pasukan menunjukkan persaingan secara baik dan sihat, sekali gus membuktikan potensi untuk menjadikan kejohanan seumpama itu sebagai antara acara yang terus menyokong perkembangan ragbi di Tawau dan Sabah.