TAWAU – Buat julung kalinya, Kampung Budaya Pasir Putih akan menjadi saksi penganjuran sebuah acara berimpak tinggi sempena Hari Kemerdekaan apabila Merdeka Fun Run 7KM bakal berlangsung pada 31 Ogos 2025. Larian ini bukan sekadar acara sukan, tetapi manifestasi semangat cintakan tanah air yang diterjemahkan dalam bentuk langkah-langkah penuh makna, merentasi keindahan landskap desa yang damai dan penuh nilai warisan.
Dengan tema “Kita Lari, Kita Merdeka,” program ini merupakan inisiatif oleh Pertubuhan Komuniti Kampung Budaya Pasir Putih Tawau – Penggiat yang bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat, khususnya komuniti tempatan di Tawau. Penganjuran acara ini dilihat sebagai satu usaha menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, dari golongan muda hingga veteran, dalam satu platform yang sihat, berbudaya dan inklusif. Ia dijangka menarik penyertaan yang besar daripada komuniti setempat termasuk peminat sukan, pelajar, keluarga dan pelancong domestik.
Menurut wakil penganjur, larian ini bukan sahaja menekankan aspek kesihatan fizikal, tetapi juga nilai perpaduan, kecintaan kepada negara serta penghargaan terhadap warisan kampung dan budaya tempatan. Ia memberi peluang kepada peserta untuk menjiwai semangat kemerdekaan dengan cara yang lebih aktif dan bermakna. Selain itu, turut sambil menikmati suasana desa yang tenteram dan memukau.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Merdeka Fun Run Kampung Pasir Putih
Penyertaan untuk Merdeka Fun Run 2025 dibuka kepada semua warga. Setiap peserta yang mendaftar akan menerima jersi edisi khas, medal finisher, bib larian serta sijil penyertaan dalam bentuk digital. Yuran penyertaan dikenakan untuk memastikan pengurusan acara berjalan lancar serta memberikan pengalaman terbaik kepada semua yang terlibat.
Acara ini dijangka menjadi salah satu sambutan kemerdekaan yang paling meriah di Tawau, dan ruang penyertaan adalah terhad. Orang ramai digalakkan untuk mendaftar awal bagi mengelakkan kekecewaan. Pihak penganjur juga akan menyediakan pautan pendaftaran serta kod QR yang akan disebarkan menerusi platform media sosial rasmi.
Merdeka Fun Run 7KM ini tidak sekadar mengangkat semangat kecergasan, tetapi juga memperkukuh hubungan komuniti. Selain itu turut memartabatkan nilai-nilai kebangsaan dalam suasana yang harmoni. Ia turut memperlihatkan potensi besar Kampung Budaya Pasir Putih sebagai pusat aktiviti masyarakat yang aktif dan progresif. Semangat larian ini bukan hanya untuk menamatkan garisan penamat, tetapi untuk menjiwai setiap langkah dengan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.