Ilmu Keagamaan Pemangkin Pembangunan Komuniti Kukusan

keagamaan

TAWAU – Ilmu keagamaan dan pengisian kerohanian merupakan aspek penting dalam membentuk masyarakat sejahtera dan komuniti yang kukuh, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, YB Datuk Rina Hj Jainal, semasa merasmikan Program Istiqamah Malam 20 Syawal dan Ceramah Raya Kukusan yang diadakan di kediaman beliau pada Sabtu lalu.

Program tersebut dianjurkan sempena penutupan bulan Syawal, yang bukan sahaja mengeratkan silaturahim sesama penduduk, tetapi turut memberikan nilai tambah melalui pengisian rohani serta ceramah agama.

Menurut YB Datuk Rina, inisiatif keagamaan seperti ini akan terus diperkasa sebagai sebahagian daripada usaha membina komuniti yang bukan sahaja sihat secara fizikal tetapi juga sejahtera dari segi spiritual dan emosi.

keagamaan
Yb Datuk Rina menyampaikan ucapan buat tetamu jemputan. Foto – Salam Undong

“Sebagai seorang Muslim dan wakil rakyat, saya komited untuk mempergiatkan program-program berbentuk keagamaan di Kukusan. Ia penting bagi menyemai nilai istiqamah dalam kalangan penduduk, terutama selepas melalui bulan Ramadan yang penuh keberkatan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan.

Beliau turut menyatakan bahawa program-program seperti ini memberi impak besar terhadap kesejahteraan sosial. Selain itu turut memberi ruang kepada ibu bapa untuk membudayakan ilmu agama dalam kalangan anak-anak sejak kecil.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendorong anak-anak menyertai program keagamaan. Pendidikan rohani ini penting dalam membentuk jati diri dan akhlak generasi masa depan,” ujarnya lagi.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Dalam program tersebut, YB Datuk Rina turut meraikan sambutan Aidilfitri bersama penduduk sekitar Kukusan dan wakil-wakil NGO. Sambutan ini menjadikan majlis itu bukan sahaja bersifat keagamaan, tetapi juga meriah dengan suasana kekeluargaan dan komuniti.

Turut hadir sebagai penceramah jemputan ialah Ustazah Marhamah Rosli, seorang aktivis dakwah yang dikenali ramai. Dalam ceramahnya, beliau melahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa daripada masyarakat, terutamanya golongan muda.

“Alhamdulillah, ramai anak muda yang hadir. Ini satu perkembangan yang sangat positif. Program keagamaan hari ini bukan hanya tempat untuk menuntut ilmu, tetapi juga ruang mengisi rohani dan memperkuat jiwa dalam menghadapi cabaran kehidupan,” kata Ustazah Marhamah.

keagamaan
YB Datuk Rina ditemui media. Foto – Salam Undong

Sambutan terhadap program ini membuktikan bahawa pendekatan berasaskan nilai agama dan spiritual masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Ia juga selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memupuk komuniti yang harmoni, progresif dan berakhlak tinggi melalui usaha memperkasa agenda kerohanian di peringkat akar umbi.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *