TAWAU – Komitmen kerajaan dalam memperkukuh sektor agromakanan di Sabah terus diperkasa apabila sebanyak RM86.66 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 42 projek pembangunan meliputi bidang pertanian, perikanan dan penternakan di negeri ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, inisiatif besar ini mencerminkan iltizam kerajaan untuk meningkatkan daya saing sektor agromakanan Sabah yang selama ini menjadi penyumbang utama ekonomi negeri.
Katanya, pelaksanaan projek-projek tersebut menjadi bukti nyata bahawa Sabah memiliki potensi besar untuk terus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, terutamanya menerusi sektor pertanian, perikanan dan penternakan.
“Peruntukan ini antara langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara dan Sabah menjadi salah satu negeri tumpuan dalam usaha ini. Program seperti Road to Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) ini menjadi medium penting menyampaikan dasar kerajaan terus kepada rakyat,” katanya pada pelancaran program Road to HPPNK 2025 di sini.
Tambahnya, daripada keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM29.38 juta disalurkan kepada 19 projek ‘quick win’ yang dijangka memberi impak segera kepada rakyat. Antaranya termasuk pembangunan plot pengeluaran nanas varieti Sabah Volcanic Sweet (SVS) seluas empat hektar di Quoin Hill, Tawau.
Beliau berkata, semua inisiatif ini bukan sahaja dapat membuka peluang pekerjaan, tetapi juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar, sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Dalam sektor perikanan, Tawau jelas memainkan peranan penting apabila menyumbang lebih 13.5 peratus kepada hasil perikanan tangkapan dan 27.3 peratus dalam sektor akuakultur Sabah. Menyedari potensi itu, pelbagai bantuan disalurkan termasuk Elaun Sara Hidup Nelayan, subsidi bahan api serta bantuan bencana bagi meringankan beban golongan nelayan.
“Di Tawau sahaja, sebanyak RM450,000 disalurkan kepada 34 nelayan B40 dalam bentuk peralatan seperti pukat dan tong insulasi. Malah, RM2 juta turut diperuntukkan bagi membaik pulih rumah nelayan di Sabah, termasuk RM300,000 untuk membantu 15 keluarga di Tawau,” katanya.
Beliau menegaskan, komitmen kerajaan dalam memperkasa sektor agromakanan ini membuktikan kerajaan sentiasa prihatin terhadap golongan peladang, penternak dan nelayan yang menjadi benteng utama keterjaminan makanan negara.
“Road to HPPNK ini bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya ia satu platform menyeluruh bagi mengiktiraf sumbangan komuniti agro negara, selain menjadi saluran menyampaikan dasar secara terus kepada rakyat. Dengan usaha berterusan dan kerjasama semua pihak, Sabah mampu menjadi peneraju sektor agromakanan negara yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.
Terdahulu, beliau turut melepaskan konvoi bermotor Road to HPPNK 2025 yang akan menjelajah ke beberapa daerah termasuk Sandakan, Nabawan, Keningau, Papar dan Kota Kinabalu sebelum kemuncaknya di Sabah International Convention Centre (SICC) Ogos ini.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.