TAWAU – Suasana penuh ceria dan semangat kekeluargaan menyelubungi Kem Kubota hari ini apabila lebih 3,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama keluarga hadir bagi meraikan Karnival Hari Keluarga ATM, yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin.
Penganjuran karnival ini merupakan sebahagian daripada siri program yang berlangsung serentak di tiga lokasi melibatkan warga ATM di Sabah, iaitu di Tawau, Sandakan dan Lahad Datu. Secara keseluruhan, sepanjang program dua hari bermula 22 hingga 23 November, lebih 5,000 anggota tentera bersama keluarga turut serta. Hal ini menjadikan acara tahun ini antara yang terbesar dianjurkan di Sabah.

Ruang Untuk Warga ATM Berehat dan Meluangkan Masa
Karnival yang diadakan setiap tahun ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang menyatukan anggota ATM dan keluarga. Termasuk senamrobik, sukaneka, pertandingan tarik tali, mewarna, congkak, dam haji, memancing dalam botol serta sukan moden seperti e-games Mobile Legends. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah berfungsi sebagai ruang untuk warga ATM berehat. Disamping itu, dapat meluangkan masa berkualiti di samping keluarga selepas melalui tugasan yang mencabar.
Kementerian Pertahanan menjelaskan bahawa penganjuran karnival ini selari dengan prinsip Pertahanan Menyeluruh (HANRUN). Prinsip ini menekankan penyertaan holistik seluruh sistem pertahanan negara. Program ini turut memperkukuh konsep Whole of Government and Society (WoGos) dengan memupuk sinergi antara kerajaan dan masyarakat. Terutama dalam memastikan keharmonian, keselamatan serta kestabilan negara terus terpelihara.

Perkukuh Hubungan Antara ATM dengan Masyarakat
Turut hadir memeriahkan program di Kem Kubota ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi bin Md Lepi. Selain itu turut hadir, Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Hj Noorul Azril bin Ariffin; serta pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan TLDM.
Penganjuran Karnival Hari Keluarga ATM tahun ini sekali lagi membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan anggota pertahanan. Hal ini turut memperkukuh hubungan antara ATM dengan masyarakat. Selain menjadi platform apresiasi kepada warga tentera, program ini turut meningkatkan kesedaran awam. Terutama mengenai peranan besar ATM dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.



