TAWAU — Suasana Ceramah Mega Warisan di Six Star Steamboat, Merotai bertukar hangat apabila Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal, tampil dengan mesej tegas: “Warisan bukan sekadar parti — ini platform penyatuan rakyat Sabah!”
Dengan laungan penyokong dan kehadiran pemimpin berprofil tinggi merentas parti, Shafie menjadikan pentas Merotai sebagai medan besar menggariskan hala tuju baharu Sabah menjelang PRN ke-17.

“Single Party satukan Sabah, bukan gabungan bercelaru”
Dalam ucapannya, Shafie menekankan bahawa Sabah sudah terlalu lama tenggelam dalam politik perpecahan. Beliau mengingatkan bahawa negeri ini pernah makmur di bawah parti tunggal seperti USNO, BERJAYA dan PBS — dan Warisan mampu mengulangi kejayaan itu.
“Untuk satukan rakyat, kita perlukan satu parti untuk semua bangsa. USNO boleh, BERJAYA boleh, PBS boleh — takkan Warisan tidak boleh?” tegas beliau disambut sorakan hadirin.
Hak rakyat jadi asas perjuangan — bukan sentimen kaum
Shafie lantang mengingatkan rakyat agar menolak politik kebencian dan memilih berdasarkan isu sebenar.
Beliau menegaskan bahawa pemimpin mesti berlaku adil tanpa mengira agama atau bangsa — mengimbau pengalaman ketika beliau dijemput oleh 8,000 masyarakat Kristian di Keningau.
“Saya satu-satunya Ketua Menteri yang beri cuti umum Krismas. Pemimpin mesti jadi rahmatan lil alamin — membawa kebaikan kepada semua.”
“Cinta negara bukan tunduk kepada Semenanjung”
Menjawab tuduhan bahawa parti ini bersikap anti-Semenanjung, Shafie menegaskan rekod jelas menunjukkan sebaliknya. Kerajaan Sabah di bawah Warisan pernah menyalurkan lebih RM9 juta kepada agensi Persekutuan termasuk PDRM, ATM, KPM dan KKM.
“Kita sayang Malaysia. Tapi jangan tafsir bila kami lawan parti Semenanjung, kami tidak cintakan negara.”
Isu sebenar PRN Sabah: Air, elektrik, sekolah daif, pekerjaan
Shafie menekankan bahawa rakyat Sabah kini lebih matang dalam menilai perjuangan politik.
Beliau membariskan isu-isu yang menjadi keutamaan Warisan:
bekalan air kronik,
elektrik tidak stabil,
sekolah daif,
peluang pekerjaan terhad,
hospital kekurangan ubat.
“Inilah isu rakyat. Inilah perjuangan Warisan.”
Warisan bentangkan hala tuju baharu Sabah
Ceramah mega di Merotai bukan sekadar program politik ia menjadi pentas Shafie Apdal menegaskan:
Warisan adalah parti penyatuan Sabah,
integriti dan ketelusan kekal agenda utama,
rakyat perlu bersatu memilih berdasarkan isu sebenar,
Sabah perlukan pentadbiran profesional, bersih dan inklusif.
Dengan PRN Sabah semakin hampir, mesej Shafie jelas, Sabah tidak perlu lagi politik perpecahan — Sabah perlu kesatuan, keberanian dan kepimpinan yang benar-benar memahami rakyat.



