TAWAU – Program Gunting Rambut Bergerak percuma yang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan terus mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 150 kanak-kanak menerima manfaat, sekali gus membantu persiapan mereka menghadapi sesi persekolahan baharu.
Pembantu Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, YB Datuk Rina Jainal berkata, program yang berlangsung di Surau Meruluda, Kampung Berlama itu merupakan lokasi ke-11 bagi inisiatif tahunan berkenaan.
Menurut beliau, sasaran awal seramai 150 kanak-kanak telah berjaya dicapai dan jumlah tersebut dijangka meningkat sehingga hampir 200 orang, termasuk peserta dari luar kampung yang turut hadir mendapatkan perkhidmatan gunting rambut percuma.
“Program ini memang kita laksanakan setiap tahun ketika musim cuti sekolah. Alhamdulillah, kali ini ibu bapa sendiri sudah menantikan program ini tanpa perlu kita mencari peserta. Ini membuktikan program ini benar-benar memberi manfaat,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.
Datuk Rina menjelaskan, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya keluarga yang mempunyai ramai anak, memandangkan kos gunting rambut boleh mencecah lebih RM20 bagi seorang kanak-kanak.
“Jika sebuah keluarga ada lima orang anak, kos itu boleh menjadi satu beban. Jadi program ini sedikit sebanyak membantu mereka, lebih-lebih lagi menjelang pembukaan sekolah,” katanya.
Selain membantu ibu bapa, program ini turut membuka peluang pendapatan kepada golongan belia yang mempunyai kemahiran menggunting rambut. Beliau berkata, penglibatan belia dalam program sebegini mampu menyokong ekonomi setempat dan memberi ruang kepada mereka mengembangkan perniagaan di peringkat kampung.
