KOLUM | Lawatan penanda aras yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung baru-baru ini memberi tumpuan khusus kepada usaha mendapatkan input menyeluruh berkaitan pembangunan sekolah agama berkonsepkan pendidikan holistik dan berdaya saing.
Lawatan ini bertujuan mengumpul pandangan, pengalaman serta amalan terbaik daripada beberapa institusi utama negara sebagai rujukan dalam pembangunan SAN Apas Balung yang dijangka menjadi antara model sekolah agama moden di Sabah.

Antara lokasi lawatan yang terlibat termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Darul Quran, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Setiap institusi ini dilihat mempunyai kepakaran tersendiri dalam aspek kurikulum, pengurusan pendidikan Islam, latihan tenaga pengajar serta tadbir urus institusi pendidikan.
Baca Juga : Caj Parking Baharu di Tawau
Sekolah Agama Apas Balung, Cita-cita 30 Tahun Hampir Tercapai
Mengulas mengenai latar belakang projek, Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan SAN Apas Balung, Sabran Zabur Bin Abd Hamid, memaklumkan bahawa pembinaan sekolah agama ini merupakan impian warga Balung yang telah dinantikan hampir 30 tahun. Impian tersebut akhirnya bakal direalisasikan pada tahun 2026 dengan sokongan dan bantuan berterusan daripada YB Datuk Lo Su Fui, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Ahli Parlimen Tawau.

Dalam lawatan ini, YB Datuk Lo Su Fui dan Pejabat Parlimen Tawau memainkan peranan penting sebagai penghubung antara jawatankuasa pembangunan dengan institusi berkaitan seperti JAKIM, Darul Quran, ILIM dan UIAM bagi memastikan perancangan sekolah ini selari dengan dasar serta keperluan pendidikan Islam di peringkat nasional.
Selain itu, projek pembangunan SAN Apas Balung turut dirancang untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat teknologi tempatan, yang bakal membekalkan peralatan pembelajaran berteknologi tinggi bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran murid serta pelajar kelak. Pendekatan ini dijangka mewujudkan ekosistem pendidikan Islam yang lebih interaktif, moden dan berkesan.

Projek Sekolah Agama Negeri Apas Balung ini juga dilihat sebagai projek rintis yang menggabungkan pendidikan agama dengan penggunaan teknologi terkini, sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap pendidikan Islam di negeri ini.
Dalam lawatan kali ini, turut disertai oleh Awang Juri Bin Ag Tahir, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Said Hassan Bin Said Idrus, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tawau, Haji Ali Bin Alwi, Pengerusi Masjid dan Ahli Perniagaan serta beberapa individu dan wakil agensi berkaitan.

Penulis yang juga Ketua Pengarang Tawaukini, Abdul Salam Undong turut dijemput bersama di dalam lawatan ini bagi mendapatkan gambaran serta maklumat lebih mendalam mengenai hala tuju pembangunan sekolah tersebut. Lawatan ini membuka ruang perbincangan yang luas berkaitan keperluan membangunkan sekolah agama yang bukan sahaja menekankan pengajian agama, malah turut mengintegrasikan akademik, teknologi dan pembentukan sahsiah pelajar.
“Lawatan ini jelas menunjukkan kesungguhan semua pihak dalam memastikan Sekolah Agama Negeri Apas Balung dibangunkan secara terancang, menyeluruh dan relevan dengan keperluan pendidikan masa kini,” katanya.
Sebagai portal berita tempatan, Tawaukini menyatakan komitmen untuk terus menyokong usaha pembangunan pendidikan di daerah Tawau dan Kalabakan. Diharapkan projek ini dapat menjadi asas kukuh kepada pembangunan modal insan dalam kalangan anak muda, bukan sahaja di Tawau malah di seluruh Sabah.


