Pertemuan gerakan mahasiswa bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abdul Halim hari ini mencuri perhatian apabila seorang mahasiswa secara bersahaja menyerahkan sekeping kotak bertulis “Jangan lupa mansuh PTPTN, AUKU dan Reform IPT” kepada Adam Adli, dalam satu pertemuan rasmi bersama Sekretariat Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (#ReformIPT).
Kotak berkenaan turut dilekatkan gambar Adam Adli ketika masih menjadi aktivis mahasiswa dan terlibat dalam demonstrasi, dipercayai sebagai simbol peringatan terhadap idealisme perjuangan mahasiswa yang pernah dibawa beliau suatu ketika dahulu.
Pertemuan rasmi tersebut dilaporkan berlangsung pada hari ini, 23 Januari 2026, dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), susulan sidang media #ReformIPT yang diadakan pada 7 Januari lalu di Rumah Mandiri Petaling Jaya.

Dalam sidang media berkenaan, sekretariat #ReformIPT telah memberikan tempoh lima hari bekerja kepada pihak KPT untuk mengemukakan maklum balas rasmi berhubung dakwaan manipulasi, penyelewengan serta kegagalan tadbir urus dalam sistem perolehan tender Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia.
Sehubungan itu, satu Memorandum Rasmi Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia telah diserahkan secara rasmi kepada Adam Adli. Memorandum tersebut menggariskan secara terperinci dakwaan kegagalan sistemik perolehan di beberapa IPTA utama termasuk UKM, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Islam Selangor (UIS) serta beberapa institusi lain.
Dakwaan berkenaan disokong oleh dapatan daripada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen serta kes-kes yang telah disabitkan di mahkamah.

Antara tuntutan utama yang dikemukakan dalam memorandum tersebut termasuk keperluan pendedahan secara wajib dan berkala senarai semua tender, projek dan perjanjian konsesi universiti awam, termasuk nilai kontrak, proses kelulusan serta pihak terlibat, bagi memastikan tahap ketelusan dan semakan awam yang sah.
Selain itu, sekretariat turut menuntut pelaksanaan Integrity Pact bersama mekanisme Independent Expert Monitoring (IEM) dalam sistem perolehan universiti awam, bagi mewujudkan pemantauan luaran yang bebas, berwibawa serta mengikat dari sudut etika dan perundangan.

Memorandum itu juga menggesa intervensi menyeluruh SPRM terhadap sistem perolehan IPTA, termasuk pembukaan siasatan ke atas semua institusi yang menunjukkan corak penyelewengan bersifat sistemik, selain pelaksanaan audit dalaman dan audit forensik bebas yang meliputi semua tender, projek pembangunan dan pelaburan universiti awam.
Dalam aspek perlindungan, #ReformIPT menuntut pemerkasaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat agar diperluaskan secara khusus dalam konteks universiti awam, bagi melindungi pelajar dan warga kampus daripada sebarang bentuk pembalasan institusi.
Antara tuntutan paling tegas ialah pemansuhan sepenuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan penggubalan Akta Pendidikan Tinggi yang baharu, berteraskan autonomi institusi, pemisahan kuasa, ketelusan pentadbiran serta akauntabiliti demokratik. Turut dicadangkan ialah peruntukan kuota khas wakil mahasiswa sebagai Student Trustee dalam Lembaga Pengarah Universiti.

Mengulas perkara tersebut, Adam Adli menegaskan bahawa isu integriti dan tadbir urus merupakan keutamaan KPT dan sentiasa diberi perhatian serius. Beliau turut memaklumkan bahawa memorandum berkenaan telah diserahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi untuk penelitian lanjut.
Menurut beliau, KPT telah menerima maklum balas daripada pihak UKM, termasuk dapatan bahawa ketidakpatuhan prosedur perolehan tender bernilai RM58.45 juta kini berada di bawah siasatan SPRM, selain tindakan tatatertib yang telah diambil terhadap individu terlibat.
Namun begitu, sehingga kini UKM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi atau maklum balas terbuka berhubung status terkini kes tersebut, termasuk pendedahan identiti pihak terlibat serta langkah pembetulan dan mitigasi yang dilaksanakan. Keadaan ini disifatkan sebagai mewujudkan defisit kepercayaan yang serius terhadap prinsip ketelusan institusi awam.

Dalam pertemuan sama, sekretariat #ReformIPT turut memaklumkan bahawa kebanyakan jawatankuasa perolehan tender IPTA tidak dipantau oleh mana-mana badan bebas, khususnya ketiadaan mekanisme Independent Expert Monitoring (IEM) yang berfungsi secara berterusan.
Adam Adli akhirnya memberi jaminan bahawa semua isu yang dibangkitkan akan dipertimbangkan sewajarnya dan KPT akan meneliti mekanisme penambahbaikan yang perlu bagi memastikan integriti, ketelusan dan tadbir urus perolehan universiti awam dapat diperkukuh pada masa hadapan.
#TawauKini

