TAWAU | Karnival Jom Masuk Universiti 2026 (JMU 2026) Zon Sabah I akan berlangsung selama dua hari pada 7 hingga 8 Februari 2026 bertempat di Kompleks Sukan Tawau, bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu membawa tema “DreamX: Inspiring Your Next Step” dan menjadi platform penting kepada pelajar serta ibu bapa untuk mendapatkan maklumat berkaitan hala tuju pendidikan tinggi dan TVET.

Pelbagai pengisian menarik menanti pengunjung antaranya pameran Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), konsultasi UPUOnline®, Festival POLYCC®, pameran peluang biasiswa, selain aktiviti interaktif dan cabutan bertuah.
Karnival ini menyasarkan pelajar lepasan SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi, STAM, Diploma atau setaraf, di samping terbuka kepada ibu bapa, guru, kaunselor serta orang awam. Kemasukan adalah percuma.

Penganjur turut menasihatkan pengunjung agar membawa salinan keputusan akademik atau sijil peperiksaan untuk tujuan konsultasi, serta menyediakan senarai soalan berkaitan kursus dan syarat kemasukan.
JMU 2026 dijangka menjadi medan terbaik buat pelajar yang masih mencari hala tuju selepas persekolahan untuk mendapatkan maklumat tepat terus daripada wakil institusi pengajian tinggi.
Orang ramai dijemput hadir bagi merebut peluang membina masa depan pendidikan yang lebih terancang.



