KOLUM | ke arah pemansuhan AUKU

pemansuhan AUKU

Pemansuhan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) tidak boleh digalas oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) semata-mata. Ia menuntut kesedaran kolektif yang lebih luas, melibatkan ahli akademik, wakil pelajar di Jabatan Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), Persatuan Mahasiswa (PM) Fakulti, kelab-kelab di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), dan mahasiswa biasa. Selagi AUKU hanya difahami sebagai isu MPP, selagi itulah ia gagal dibaca sebagai masalah struktur yang membentuk budaya takut, ketundukan, dan penapisan diri dalam universiti.

AUKU tidak sekadar mengawal tindakan; ia membentuk cara mahasiswa berfikir tentang kuasa, keberanian, dan had diri mereka sendiri.

Kesan 50 Tahun AUKU terhadap Mahasiswa

Lima dekad AUKU telah melahirkan satu produk yang jelas: organisasi mahasiswa yang terlalu menekankan penganjuran program, manakala beban kebajikan dan advokasi diletakkan hampir sepenuhnya ke atas MPP. Tidak dinafikan terdapat JAKMAS dan PM Fakulti yang prihatin terhadap kebajikan mahasiswa, namun kebanyakannya hanya berfungsi sebagai penyalur aduan. Akhirnya, MPP menjadi posmen antara mahasiswa dan pentadbiran.

Lebih membimbangkan, AUKU membentuk hierarki yang tidak sihat dalam organisasi mahasiswa, dengan MPP berada di tangga paling atas, seolah-olah bertindak sebagai penjaga kepada PM Fakulti, JAKMAS dan kelab HEP. Dalam struktur ini, dinamika saling mengkritik hampir tidak wujud. Semak dan imbang tidak berfungsi, dan dasar mahasiswa tidak pernah benar-benar diuji.

Akibatnya, peranan sebenar MPP terpesong. Daripada menjadi pembuat dasar dan penentu hala tuju mahasiswa, termasuk memperjuangkan kepentingan rakyat di luar tembok universiti, MPP kini sekadar menyampaikan aduan kepada jabatan-jabatan dalam universiti. Inilah kesan paling mendalam AUKU: ia menormalisasikan peranan yang selamat, bukan peranan yang berani.

Kesan ini menjadi lebih jelas apabila inisiatif baru cuba dicetuskan oleh mahasiswa. Idea-idea ini terpaksa melalui HEP dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Universiti (PPUU), walhal banyak daripadanya tidak memerlukan campur tangan tersebut. Proses birokrasi yang panjang ini bukan sahaja melambatkan keputusan, tetapi menghakis tenaga dan semangat pelaksana. Idea mahasiswa hidup dalam momentum, dan apabila momentum itu dipegang terlalu lama atas nama kelulusan, ia akan mati sebelum sempat diuji. Inilah bahaya sebenar produk AUKU: membunuh inisiatif sebelum ia sempat matang.

Bagi mahasiswa biasa pula, AUKU sering dirasakan tidak memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka. Persepsi ini berbahaya kerana ia mencerminkan sejauh mana universiti telah terpisah daripada tujuan asalnya. Universiti bukan sekadar tempat menghadiri kuliah dan menamatkan pengajian, tetapi ruang membina kesedaran sosial dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Dalam konteks ahli akademik, AUKU turut mengecilkan peranan universiti sebagai ruang dialog bebas. Sedangkan akademik seharusnya mampu berbicara dan berdiskusi bukan sahaja tentang silibus, tetapi juga isu-isu semasa yang membentuk realiti mahasiswa dan rakyat.

Siapa yang Diuntungkan oleh AUKU

Dalam membicarakan pemansuhan AUKU, kita perlu jujur menamakan pihak yang diuntungkan oleh kewujudannya. Bukan individu tertentu, tetapi satu struktur yang telah lama selesa dengan mahasiswa yang pasif dan patuh. AUKU memelihara budaya pengurusan universiti yang melihat mahasiswa sebagai risiko yang perlu dikawal, bukan rakan intelektual yang wajar dirangkul dalam proses fikir dan membuat keputusan.

Melalui kerangka birokrasi ini, AUKU digunakan untuk melambatkan keputusan, menapis inisiatif mahasiswa, dan secara halus melemahkan daya tawar suara pelajar. Semua ini sering dibungkus dengan naratif “kestabilan kampus”, satu istilah yang kedengaran neutral, tetapi hakikatnya mengorbankan kebebasan berfikir dan keberanian intelektual.

AUKU dalam Pengalaman Hidup Mahasiswa

Kesan AUKU tidak hanya wujud di atas kertas, tetapi hidup dalam pengalaman seharian mahasiswa. Banyak diskusi dan program intelektual bermula dengan idea yang matang dan sokongan mahasiswa yang jelas, namun akhirnya mati perlahan-lahan setelah melalui terlalu banyak peringkat kelulusan. Penangguhan demi penangguhan menjadikan wacana lesu sebelum sempat bernyawa.

Dalam masa yang sama, tidak sedikit organisasi mahasiswa yang memilih untuk menarik diri daripada isu-isu tertentu, bukan kerana idea itu salah, tetapi kerana rasa takut akan tindakan disiplin. Atas alasan “sensitiviti” atau “arahan atasan”, ruang fikir yang sepatutnya subur dikorbankan demi kepatuhan. Inilah wajah sebenar normalisasi takut yang lahir daripada AUKU.

Kos Jika AUKU Terus Dikekalkan

Jika AUKU terus dipertahankan, kosnya bukan kecil. Kita sedang membentuk generasi mahasiswa yang cekap melaksanakan arahan, tetapi lemah untuk bertanya, mencabar dan menentang secara berfakta. Universiti pula berisiko terputus daripada realiti rakyat, sekadar menjadi kilang tenaga kerja, bukan ruang melahirkan warga berfikir.

Lebih membimbangkan, budaya organisasi mahasiswa akan terus dibentuk oleh rasa takut. Takut berbeza, takut gagal, dan takut berkonfrontasi dengan kuasa. Dalam iklim sebegini, keberanian bukan lagi nilai, sebaliknya dianggap liabiliti.

Sikap Mahasiswa ke arah Pemansuhan AUKU

Saya mengaku bahawa saya sendiri belum menggunakan kapabiliti diri sepenuhnya dalam MPP. Pengakuan ini membawa kepada satu persoalan besar: apakah yang masih hilang dalam organisasi mahasiswa hari ini untuk membina gerakan ke arah pemansuhan AUKU?

Jawapannya terletak pada kegagalan membina dinamika mahasiswa yang kritis dan matang. Untuk itu, beberapa peranan perlu difahami dan dihidupkan secara sedar. Pertama, golongan pembuat dasar dan penentu hala tuju mahasiswa. Peranan ini wajar dipegang oleh MPP (chief). Kedua, golongan pelaksana yang terdiri daripada JAKMAS, PM Fakulti, kelab HEP dan mahasiswa biasa (executioner). Ketiga, golongan warrior yang berfungsi sebagai semak dan imbang kepada pembuat dasar.

Warrior bukan golongan rawak. Ia perlu dianggotai oleh individu yang memahami kedua-dua sisi: pembuatan dasar dan pelaksanaan. Lazimnya terdiri daripada mahasiswa dalam proksi atau bekas PM Fakulti dan JAKMAS yang memahami cara chief berfikir serta bagaimana executioner bekerja. Hanya melalui kefahaman ini, dasar MPP dapat digempur secara bermakna di meja bulat dengan hujah-hujah yang membina, bukan secara emosional.

Dinamika ini penting untuk melahirkan idea yang benar-benar matang. Apabila executioner hanya digerakkan sebagai chamber penganjuran program, mereka akan terus terikat kepada KPI dan laporan. Mahasiswa tidak dilatih untuk berdikari, sedangkan mereka sepatutnya mampu membina pentadbiran sendiri, ekonomi sendiri, dan gerak kerja sendiri tanpa kebergantungan berlebihan kepada HEP.

Namun, tidak semua dasar perlu melalui proses semak dan imbang yang berat. Perkara remeh tidak wajar melumpuhkan sistem. Yang penting ialah memastikan dasar strategik dan hala tuju mahasiswa sentiasa diuji, dicabar, dan dimurnikan.

Selain itu, mahasiswa perlu bersikap pro-mandiri dalam mengurus organisasi mereka dengan membangunkan ekonomi sendiri dan tidak sentiasa bergantung kepada sumbangan pentadbiran atau pihak luar. Mahasiswa perlu membaca perlembagaan, memahami dasar, dan mendiskusikannya bersama. Diskusi liar dan dialog ilmiah harus dinormalisasikan. Duduk bersama ahli akademik, membincangkan realiti masyarakat di luar kampus, dan mengembalikan universiti kepada tujuan asalnya: mengangkat suara rakyat yang terpinggir.

Bayangan Mahasiswa Pasca Pemansuhan AUKU

Apabila AUKU dimansuhkan, mahasiswa tidak lagi terperangkap dalam kepompong autonomi kewangan dan penganjuran program semata-mata. Mereka mampu mentadbir urus universiti secara lebih menyeluruh, menjana pendapatan mandiri, membina jenama mahasiswa yang besar, dan menyelesaikan masalah asas seperti infrastruktur serta kemudahan kampus melalui kuasa kolektif.

Lebih penting, kebebasan akademik dapat dihidupkan semula. Isu ekonomi, rasuah, kemiskinan dan ketidakadilan boleh dibicarakan tanpa rasa takut. Universiti kembali menjadi ruang keberanian, bukan ruang penyesuaian.

Pemansuhan AUKU bukan sekadar tuntutan undang-undang, tetapi soal sikap dan keberanian kolektif. Mahasiswa boleh bermula dengan bertanya soalan paling asas: “Mengapa perkara ini perlu kelulusan?” dan menghidupkan diskusi kecil yang jujur. Organisasi mahasiswa perlu membuka ruang kritik dalaman yang selamat, agar perbezaan pandangan tidak dihukum sebagai ancaman. Akademik pula harus hadir dalam dialog mahasiswa sebagai rakan fikir, bukan sebagai pengawas. Universiti hanya akan hidup jika wacana bergerak dua hala.

AUKU tidak kekal kerana ia terlalu kuat, tetapi kerana terlalu ramai memilih untuk diam. Diam itu sendiri adalah satu pilihan politik. Tidak memilih untuk bersuara bermakna memilih untuk menyebelahi status quo. Soalnya kini bukan lagi sama ada AUKU perlu dimansuhkan, tetapi sama ada kita sanggup terus hidup dalam sistem yang menormalisasikan takut, atau berani membina universiti yang benar-benar merdeka dalam fikir dan tindakan.


QISTINA QAISARA merupakan Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Induk sesi 2025/ 2026 dan Timbalan Presiden 1 Suara Mahasiswa UMS sesi 2025/ 2026

Penafian : Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian TawauKini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *