TAWAU – Umat Islam di daerah ini dijemput untuk bersama-sama menghadiri Solat Sunat Tarawih pada malam 9 Ramadan yang akan berlangsung di Masjid Al Kauthar pada 26 Februari 2026.
Menurut makluman yang dikongsikan menerusi Facebook rasmi masjid berkenaan, solat sunat tersebut akan diimamkan oleh al-Fadhil Sheikh Muhammad Shariff Muhammad Imran, yang merupakan Imam di Masjid al-Abad, Makkah, Arab Saudi.

Kehadiran imam jemputan dari Tanah Suci itu dijangka menjadi tarikan kepada para jemaah untuk mengimarahkan lagi malam-malam Ramadan, khususnya pada malam ke-9 yang penuh keberkatan.
Muslimin dan Muslimat di sekitar Tawau diseru agar mengambil peluang ini untuk bersama-sama menunaikan ibadah dan menghayati bacaan al-Quran yang akan dipimpin oleh imam jemputan tersebut.
Pihak masjid turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai dan berharap program ini dapat menyemarakkan lagi semangat beribadah sepanjang bulan Ramadan.


