TAWAU, 6 Mac 2026 – Di sebalik klip tular pergaduhan di Bazaar Sabindo Tawau yang tersebar ke seluruh negara, lain pula ceritanya di Hospital Tawau apabila orang ramai dilihat beramai-ramai hadir untuk menderma darah susulan seruan kecemasan dibuat oleh pihak Tabung Darah Hospital Tawau awal hari ini.
Suasana di hospital malam ini dilihat bertukar menjadi medan solidariti apabila penduduk Tawau tampil untuk membantu mangsa kemalangan yang memerlukan bekalan darah segera.
Perkara itu turut dikongsikan oleh Brig Jen. (B) Tan Sri Datuk Liew Yun Fah JP menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya yang memaparkan orang ramai hadir ke Hospital Tawau bagi menyahut seruan menderma darah.
Menurut beliau, kehadiran orang ramai amat mengharukan apabila ramai tampil khusus bagi membantu seorang mangsa kemalangan di Merotai Kecil yang kini sedang menerima rawatan.
Beliau memaklumkan bahawa mangsa lelaki berusia 17 tahun itu telah selamat menjalani pembedahan dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Saya sendiri hadir melawat mangsa dan keluarga di Hospital Tawau tadi. Doktor pakar memaklumkan bahawa mangsa lelaki yang baharu berusia 17 tahun telah selamat menjalani pembedahan dan kini ditempatkan di ICU. Sama-sama kita mendoakan kesembuhan untuknya,” katanya.
Tambah beliau, mangsa memerlukan darah jenis A, namun orang ramai yang mempunyai jenis darah lain juga dialu-alukan untuk menderma bagi memastikan Tabung Darah Hospital Tawau mempunyai bekalan mencukupi untuk kes kecemasan lain.
“Saya terkejut melihat ramai yang hadir menandakan betapa murninya hati orang Tawau. Hanya Tuhan boleh membalas kebaikan anda semua,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seorang lagi mangsa kemalangan yang dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi, sambil berharap keluarga mangsa diberikan kekuatan menghadapi dugaan di bulan Ramadan ini.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian ramai di media sosial yang memuji sikap prihatin masyarakat Tawau yang tampil membantu ketika diperlukan.
#TawauKini







