TAWAU – Polis menahan lapan lelaki berusia antara 17 hingga 34 tahun selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan yang berlaku di tapak Bazar Ramadan Sabindo pada malam Jumaat, kejadian yang tular di media sosial dan menarik perhatian seluruh negara.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pada jam 8.37 malam, 6 Mac 2026 oleh seorang pegawai polis selepas melihat satu hantaran video memaparkan pergaduhan melibatkan beberapa lelaki di lokasi berkenaan.
Menurutnya, susulan laporan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan operasi dan berjaya menahan lapan individu di beberapa lokasi sekitar Tawau.
“Daripada jumlah tersebut, tujuh adalah warganegara Malaysia manakala seorang lagi merupakan warga asing,” katanya dalam satu kenyataan.
Polis turut merampas satu utas rantai motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian pergaduhan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Tawau dan polis dijangka membuat permohonan reman selama enam hari di mahkamah bagi membantu siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati antara dua kumpulan yang terlibat, namun polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Insiden itu sebelum ini menjadi tular di media sosial selepas video pergaduhan berkenaan tersebar luas ke seluruh negara, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.
#TawauKini




