TAWAU – Pembinaan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Apas Balung dijangka menjadi pemangkin penting kepada pembangunan pendidikan Islam di Pantai Timur Sabah, dengan sasaran siap dalam tempoh satu hingga dua tahun.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, berkata projek berkenaan dilaksanakan berdasarkan keperluan semasa yang mendesak, khususnya dalam menampung permintaan tinggi pelajar untuk melanjutkan pengajian agama di peringkat menengah.

Menurut beliau, pembangunan sekolah tersebut turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Sabah yang telah meluluskan tapak pembinaan yang mencukupi bagi menempatkan pelbagai kemudahan pendidikan termasuk sekolah rendah, menengah dan potensi ke peringkat lebih tinggi.
“Ini adalah salah satu hala tuju penting dalam pelan pembangunan sosial dan kesejahteraan Tawau. Kita bukan sahaja membangunkan infrastruktur, tetapi juga melahirkan modal insan yang akan memimpin masyarakat pada masa hadapan,” katanya dalam sidang media bersama Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Agama Negeri Apas Balung.
Beliau turut memaklumkan bahawa perkembangan projek setakat ini adalah amat menggalakkan, dengan kelulusan tanah telah diperoleh dan kini berada pada peringkat penyediaan pelan pembangunan serta dokumentasi berkaitan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan komitmen semua pihak termasuk masyarakat, pihak sekolah dan agensi berkaitan untuk memastikan projek ini dapat direalisasikan mengikut perancangan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Agama Negeri Apas Balung, Sabran Zabur, berkata pembinaan SMAN akan dimulakan sebaik sahaja pelan pembangunan diluluskan.

Menurut beliau, projek tersebut akan merangkumi empat blok bangunan dua tingkat yang bukan sahaja menempatkan bilik pembelajaran, malah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sokongan.
“Antara kemudahan yang akan disediakan termasuk surau, asrama lelaki dan perempuan, rumah guru, kantin serta mini stadium dan padang,” katanya.
Beliau menambah, SMAN Apas Balung dijangka mampu menampung antara 2,000 hingga 3,000 pelajar, sekali gus membantu mengatasi kekangan tempat belajar di sekolah agama sedia ada di Sabah.
“Ketika ini, terdapat kira-kira 6,000 pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sekolah menengah agama, namun kapasiti sedia ada hanya mampu menampung sekitar 200 hingga 300 pelajar sahaja,” jelasnya.
Sehubungan itu, pembinaan SMAN tersebut dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan lebih ramai pelajar, bukan sahaja dari Tawau malah seluruh Sabah, berpeluang meneruskan pendidikan dalam aliran agama secara formal.
Projek ini juga dijangka memperkukuh lagi ekosistem pendidikan Islam di negeri ini, selaras dengan keperluan semasa dan aspirasi pembangunan masyarakat berilmu serta berdaya saing.



